Bomba selamatkan 3,345 mangsa banjir di seluruh negara

Bomba Selangor melaksanakan operasi menyelamat mangsa banjir di sekitar Selangor baru-baru ini.
Bomba Selangor melaksanakan operasi menyelamat mangsa banjir di sekitar Selangor baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melaksanakan 1,769 pemantauan banjir dengan 3,345 mangsa diselamatkan di seluruh negara sejak 7 November lalu.

Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, statistik sehingga Selasa ini merekodkan penugasan seramai 5,253 keanggotaan termasuk pasukan bomba sukarela (PBS) dan pegawai bomba bantuan (PBB).

Menurutnya, berdasarkan rekod, pemantauan tertinggi adalah di Selangor iaitu 632, diikuti Johor (306), Sarawak (196), Melaka (172), Pahang (134), Pulau Pinang (92) dan Terengganu (75).

"Lain-lain negeri adalah Kelantan (42), Perak (32), Kuala Lumpur (26), Sabah (23), Negeri Sembilan (20), Kedah (15) dan Putrajaya (4).

"Jumlah mangsa yang diselamatkan adalah seramai 3,345 melibatkan 1,022 keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Antara lokasi terjejas banjir di Selangor baru-baru ini.
Antara lokasi terjejas banjir di Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata, dari segi aset logistik, sebanyak 69 buah bot, 661 jentera bomba serta 29 lori dikerah untuk penugasan banjir itu.

Tambah Mohammad Hamdan, orang ramai dinasihat untuk segera berpindah ke kawasan selamat atau pusat pemindahan sementara (PPS) apabila mengetahui persekitaran mula terjejas banjir.

Artikel Berkaitan:

"Sentiasa awasi ahli keluarga terutama apabila situasi mula berbahaya. Lengkapkan seluruh ahli keluarga dengan peralatan asas keselamatan seperti kit dokumen penting dan alat komunikasi.

"Ikuti makluman, amaran dan arahan agensi keselamatan dan penguat kuasa berhubung dengan keadaan banjir serta berisiko," ujarnya.