Banjir: Agong titah semua agensi titik berat koordinasi

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sesi sembah taklimat berkenaan langkah persediaan menghadapi banjir oleh agensi kerajaan di Istana Negara, pada Rabu. - Foto Facebook Istana Negara
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sesi sembah taklimat berkenaan langkah persediaan menghadapi banjir oleh agensi kerajaan di Istana Negara, pada Rabu. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua agensi perlu menitikberatkan koordinasi bantuan dan operasi menyelamatkan mangsa banjir bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan berkesan, tepat dan cepat.

Menerusi satu hantaran di Facebook Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, koordinasi yang baik antara semua agensi amat penting bagi memastikan tidak berlaku pertindihan tugas ketika pelaksanaan operasi menyelamat dan misi bantuan kepada mangsa banjir.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada sesi sembah taklimat berkenaan langkah persediaan menghadapi banjir oleh agensi kerajaan di Istana Negara, pada Rabu.

Pada sesi berkenaan, Seri Paduka berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus. - Bernama

Artikel Berkaitan: