PRU15: 10 kertas siasatan kes berita palsu dibuka

PDRM dan MCMC telah membuka 10 kertas siasatan sepanjang tempoh kempen PRU15 kerana memuat naik kandungan palsu di media sosial.
PDRM dan MCMC telah membuka 10 kertas siasatan sepanjang tempoh kempen PRU15 kerana memuat naik kandungan palsu di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan Petugas Siber Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka 10 kertas siasatan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana memuat naik kandungan palsu di media sosial.

Jabatan Komunikasi Korporat MCMC berkata, siasatan terhadap individu itu dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 serta Kanun Keseksaan.

Menurutnya, kertas siasatan ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan keputusan lanjut.

“Siasatan awal yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Siber PDRM-MCMC mendapati kebanyakan punca individu memuat naik kandungan yang salah adalah kerana tidak merujuk kesahihan sumber berita atau maklumat yang diterima sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.

“Contoh berita palsu yang dikesan dan boleh menggugat keselamatan awam adalah berkenaan mesej yang memanipulasi kenyataan Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkaitan anggota tentera tidak boleh terlibat secara langsung bagi kempen PRU15.

“Kenyataan PTD itu dimanipulasikan pihak tertentu dengan menambah kenyataan kononnya beliau membenarkan bekas Menteri Pertahanan untuk bebas berkempen di kem tentera darat. Penafian tersebut juga telah dimuat naik dan diuar-uarkan di portal sebenarnya.my di pautan https://sebenarnya.my/dakwaan-bahawapanglima-tentera-darat-membenarkan-mana-mana-pihakbekempen-di-kem-tentera-adalah-tidak-benar/,” katanya dalam kenyataan eksklusif kepada Sinar Harian.

Pada 8 November lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan penubuhan Pasukan Petugas Siber PDRM-MCMC bagi tindakan segera terhadap individu yang memuat naik berita palsu dan tidak benar di media sosial khusus untuk PRU15.

Tambah kenyataan MCMC, pasukan ini juga akan terus memantau dan menguatkuasakan undang-undang yang bersesuaian dalam menangani berita palsu dan jenayah-jenayah siber yang lain.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Tegasnya, MCMC sentiasa bekerjasama dengan pihak penyedia platform media sosial bagi mengambil tindakan ke atas kandungan yang melanggar peruntukan undang-undang negara terutamanya di bawah AKM 1998.

“Mana-mana individu yang didapati membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin, berita dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Manakala, sebarang perkongsian kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, jelik dan mengancam dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain, merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998. Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Jelas MCMC, pihaknya mengingatkan semua pihak terutamanya pengguna media sosial agar sentiasa menjaga kesopanan, bertolak ansur serta tatasusila ketika memberikan pandangan dan membuat sebarang ulasan melalui aplikasi media sosial.

“Perlu diingatkan bahawa media sosial hanyalah medium perantaraan dan setiap pengguna mempunyai peranan tersendiri yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan bersama.

“Lantaran itu, permasalahan ini terarah kepada sikap, mentaliti dan niat pengguna media sosial itu sendiri. Pengguna perlu lebih bertanggungjawab dan tidak memuat naik atau menyebarkan sebarang kandungan yang boleh melanggar mana-mana peruntukan undang-undang bertulis dalam negara,” katanya.

Justeru, MCMC turut menyeru masyarakat bahawa peranan mereka adalah penting dalam memastikan Internet sentiasa kondusif dan bebas daripada elemen-elemen yang boleh memudaratkan kesejahteraan dan kestabilan negara.

“Orang ramai boleh tampil membantu pihak berkuasa dengan membuat aduan kepada MCMC melalui portal aduan di https://aduan.skmm.gov.my / atau e-mel kepada aduanskmm@mcmc.gov.my. Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat yang belum ditentusahkan kepada Portal Sebenarnya.my melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/,” ujarnya.


253 laporan polis diterima di Selangor

No Image Caption

SHAH ALAM - Sebanyak 253 laporan polis diterima sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula 5 November hingga Selasa di Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 kertas siasatan telah dibuka.

"Bagi rekod terkini iaitu Selasa, sebanyak 26 laporan polis telah diterima dengan tiga kertas siasatan baru dibuka.

"Jumlah keseluruhan individu yang diberkas seramai lima orang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, pihaknya turut memantau di setiap lokasi kempen dan ceramah yang diadakan.

"Sebanyak jumlah keseluruhan kempen serta ceramah yang diadakan bagi tempoh 5 hingga 15 November 2022 sebanyak 2,931.

"Pemantauan dijalankan memastikan setiap kempen dan ceramah yang dijalankan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.

Menurutnya, pihak yang terlibat dalam proses PRU-15 ini dinasihatkan supaya sentiasa patuh kepada peraturan yang ditetapkan.

"Calon yang bertanding serta masyarakat dinasihatkan agar sentiasa menghormati dan mematuhi lunas undang-undang," katanya.