PRU15: Gelombang sokongan rakyat kepada PN makin kuat

No Image Caption
A
A
A

MUAR - Semangat kesepakatan jentera parti Bersatu, Gerakan dan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah melonjakkan gelombang sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan pilihan rakyat.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengundi Melayu dilihat memberikan sokongan luar biasa dan cukup berminat dengan kepimpinan PN yang mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran negara.

"Saya menyaksikan sendiri di mana-mana sahaja saya pergi dari utara ke selatan, malah semalam (Selasa) saya di Johor Bahru, gelombang itu jelas dan nyata.

"Sokongan luar biasa dalam kalangan pengundi- pengundi Melayu jelas dapat dilihat dan mereka kelihatan bersedia hadapi PRU15. Malah pengundi Melayu ini berminat untuk menyokong PN kerana mereka melihat kepimpinan mampu uruskan negara ketika Covid-19, menyediakan banyak bantuan dan pelbagai rekod cemerlang sebelum ini," katanya.

Muhyiddin ditemu bual Sinar Live 'Cukup-cukuplah fitnah PN' pada Rabu.
Muhyiddin ditemu bual Sinar Live 'Cukup-cukuplah fitnah PN' pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual Sinar Live 'Cukup- cukup Fitnah PN' pada Rabu.

Tegas Muhyiddin, kempen dijalankan PN bukan semata-mata bercakap tentang politik, tetapi lebih menyentuh tentang manifesto yang ditawarkan kepada rakyat.

"Sewaktu berkempen, bukan bercakap soal politik, tetapi soal apa yang PN tawarkan, supaya pengundi tahu bukan soal memangkah sahaja untuk PRU15 ini, tetapi apa yang mereka akan dapat dan peroleh.

Artikel Berkaitan:

"PN cukup komited untuk laksanakan manifesto dalam tempoh masa yang cepat dam segera seandainya dipilih sebagai kerajaan pada PRU15. Ini salah satu yang akan kita laksanakan," katanya.

Beliau menambah, jentera Bersatu, Pas dan Gerakan yang bergerak senada di bawah satu bumbung bergerak ke seluruh pelosok negara untuk memperjelaskan perjuangan PN.

"Tidak kira siapa calon, kalau di situ calon Bersatu, Pas dan Gerakan akan dukung, begitu juga sebaliknya. Itulah kesepakatan dan kesepaduan yang dilakukan di dalam PN.

"Kami pergi seluruh negara, pusat-pusat daerah mengundi, jelaskan kepada pengundi perjuangan PN dan matlamat serta apa yang dapat kami bantu rakyat supaya dapat menerajui negara dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.