PN beri tawaran terbaik untuk lima tahun akan datang

Muhyiddin (tengah) bersama-sama kepimpinan PN Bahagian Pasir Gudang dalam Ceramah Jelajah PN Best di Sierra Perdana, Pasir Gudang, pada malam Selasa.
Muhyiddin (tengah) bersama-sama kepimpinan PN Bahagian Pasir Gudang dalam Ceramah Jelajah PN Best di Sierra Perdana, Pasir Gudang, pada malam Selasa.
A
A
A

PASIR GUDANG - Rakyat perlu menilai menifesto setiap gabungan politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mengetahui perancangan mereka dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara tersebut amat penting untuk mengetahui tawaran manifesto setiap gabungan politik atau parti yang bertanding.

Jelas beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ini bukan setakat menang PRU dan kemudian membentuk kerajaan.

"Rakyat tidak ada pilhan lain kerana yang terbaik adalah PN, mahu mewujudkan kerajaan yang bersih, stabil dan prihatin. Prihatin yang tahu tentang masalah rakyat.

"Kerajaan yang mesti dibentuk pada 19 November ini mesti kerajaan yang bersih daripada segala bentuk salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Kita tahu (sebelum ini) berlaku dalam negara kita (rasuah sehingga) berbilion Ringgit.

"Sehingga Malaysia terkenal antara negara paling besar rasuahnya dan ini berlaku dalam negara kita," katanya berucap dalam Ceramah Jelajah PN Best di Sierra Perdana di sini pada malam Selasa.

Muhyiddin berkata, pengundi perlu membaca manifesto PN untuk mengetahui perancangan dan tawaran penting yang diberikan kepada rakyat.

Beliau yang menyandang kerusi Parlimen Pagoh berkata, pengundi boleh mendapatkan manifesto itu termasuk dengan memuat turunya menerusi laman web untuk meneliti perancangan PN dalam membangunkan negara.

Artikel Berkaitan:

Bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata, ekonomi dunia diramalkan terjejak teruk pada tahun hadapan dan Malaysia tidak terkecuali.

Katanya, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan mampu menguruskan kemelesetan ekonomi tersebut dengan perancangan terbaik.

Menurutnya, jika dahulu rakyat tidak mempunyai pilihan hingga terpaksa memilih UMNO dan BN tetapi sekarang sudah berubah.

Tambahnya, orang Melayu perlu memilih Bersatu dan Pas yang merupakan dua parti Melayu serta Islam terbesar dalam gabungan PN.

"Sekiranya peratusan mengundi sehingga 95 peratus seperti peratusan mengundi awal yang diadakan pada hari ini, kita akan dapat membentuk kerajaan baharu selepas PRU15," katanya lagi.