Polis terima dua laporan kes kertas undi pos Pilihan Raya 2019 Indonesia

Antara kertas undi yang ditemui di dua lokasi di Kajang, semalam.
Antara kertas undi yang ditemui di dua lokasi di Kajang, semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menerima dua laporan berhubung kes penemuan kertas undi pos bagi calon presiden serta calon perundangan untuk Pilihan Raya 2019 Indonesia di dua tempat di Kajang, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, polis akan melakukan siasatan berdasarkan laporan itu sambil menjelaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penemuan kertas undi tersebut.

“Setakat ini saya sahkan kita menerima dua laporan polis. Saya percaya Ketua Polis Negara juga akan mengeluarkan kenyataan rasmi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Semalam, portal berita Indonesia, Antara melaporkan, berdasarkan sebuah rakaman video yang tersebar, sebanyak 157 karung hitam dipenuhi kertas undi dan sebahagian lagi berselerakan di lantai ditemui di sebuah bangunan kosong di Bandar Baru Bangi.

Sebahagian kertas undi yang ditemui sudah ditanda bagi calon presiden serta ahli-ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) daripada parti yang mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut.

Sementara di Jakarta, Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu) meminta pelaksanaan Pilihan Raya 2019 Indonesia di Malaysia dihentikan ekoran kertas undi pasangan calon 01 Joko Widowo dan gandingannya Ma’ruf Amin yang sudah ditanda.

Menurut Anggota Bawaslu, Fritz Edward Siregar, pihaknya sudah mengesahkan kebenaran tentang video tersebut yang ditemui oleh Panitia Pemilihan Luar Negeri (PPLN) Kuala Lumpur.

Komisioner Komisi Pemilihan Umum (KPU), Ilham Saputra pula berkata, pihaknya akan akan mengkaji permintaan untuk menghentikan sementara pilihan raya itu di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pada 17 April ini Pilihan Raya Umum bagi menentukan calon presiden dan naib presiden akan diadakan di Indonesia dengan calon nombor 01 ialah Presiden Indonesia sekarang, iaitu Joko Widodo (Jokowi) dan akan digandingkan dengan Maaruf Amin.

Mereka akan menentang dengan calon 02 yang diwakili oleh Prabowo Subianto, sebagai calon presiden, dan digandingkan dengan Sandiaga Uno sebagai calon naib presiden.