PRU15: 30 kertas siasatan, tujuh individu ditahan

Hazani
Hazani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 30 kertas siasatan berhubung kesalahan semasa berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuka dan tujuh individu ditahan pada Selasa.

Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, lima siasatan dibuka di Perak, empat di Negeri Sembilan dan Kelantan, Kedah, Selangor, Pahang dan Sarawak (tiga), Kuala Lumpur (dua), manakala satu di Melaka, Terengganu dan Sabah.

"Kita menahan tujuh individu membabitkan kes yang dilaporkan di Perak, Pahang, Kelantan dan Sarawak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hazani berkata, kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 147, 379, 427, 435, 436, 504 Kanun Keseksaan.

'Kita turut menyiasat berapa kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Beliau berkata, tiga individu telah ditahan di pekarangan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, kerana melakukan pengedaran risalah parti politik.

"Pangkalan TLDM yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan, tiga lelaki itu telah melanggar peraturan yang ditetapkan kerana mengedarkan risalah politik ke peti surat rumah di kawasan tersebut.

"Kesemua individu itu diberikan kelulusan masuk pangkalan bagi urusan melawat saudara sahaja, namun kesemua mereka telah melakukan aktiviti pengedaran risalah politik tanpa sebarang kelulusan dari pihak TLDM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hazani berkata, statistik harian PRU15 bertarikh 15 November juga menunjukkan pengeluaran 1,522 permit ceramah di 14 kontinjen. Kontinjen paling banyak permit ialah Sabah dan Sarawak dengan 265 disusuli Kedah (158) dan Kelantan (122).

"Hanya satu ceramah politik yang dikesan dijalankan tanpa permit di Sarawak, semalam," katanya.