MAFA harap tuah jenama Melaka FC

Nur Azmi Ahmad. - Foto FB MUSA
Nur Azmi Ahmad. - Foto FB MUSA
A
A
A

SILIH berganti nama, diharapkan jenama Melaka FC mampu membawa tuah kepada skuad Sang Kancil untuk bersaing dalam kancah Liga M3 musim depan.

Dikenali sebagai Melaka United FC pada musim 2022 dan kemudian bercadang menjenamakan kepada Harimau Melaka FC sebelum akhirnya memutuskan nama baharu sebagai Melaka FC.

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, nama Melaka FC sudah dicadangkan kepada kerajaan negeri dan dalam proses menunggu kelulusan pihak berkenaan.

"Pada awalnya nak guna nama Harimau Melaka, namun selepas berbincang dalam MAFA, kita memuktamadkan nama pasukan sebagai Melaka FC.

"Apa pun, kita tunggu keputusan. Nama Melaka tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa kelulusan kerajaan negeri," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sukan Harian sebelum ini melaporkan penjenamaan semula Melaka United FC selepas kelab itu gagal mendapatkan lesen untuk bersaing dalam kempen Liga Super musim depan.

Selain pertukaran kepada Harimau Melaka, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) turut dijenamakan kembali ke nama lama MAFA.

"Harimau Melaka dan MAFA ada nostalgia tersendiri," ujar Nur Azmi.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, permohonan kepada Liga Bolasepak Amatur (AFL) akan dibuat selepas mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dan dijangka selesai dalam tempoh beberapa minggu.

Pada masa sama persiapan menyediakan pasukan yang mantap giat dijalankan dengan empat jurulatih masing-masing dua tempatan dan luar negara sudah disenarai pendek.

"Lebih 40 peratus pemain sedia ada berminat untuk kekal, manakala selebihnya jurulatih baharu akan pilih.

"Kita jangkakan pertengahan Disember jurulatih serta para pemain boleh mula berkumpul dan berlatih sebelum liga dijangka bermula pada Februari 2023 " katanya.

Nur Azmi optimis skuad baharu itu mampu bersaing di Liga M3 kerana sasaran MAFA untuk kembali ke Liga Super pada 2024.

"Kita mahu membina pasukan dan semangat baharu untuk bersaing sengit dalam kempen Liga M3, selain menyasarkan untuk layak beraksi di Piala FA 2023," katanya.