PRU15: 1.9 juta kenderaan di lebuh raya bermula 17 November

PLUS jangkakan berlaku peningkatan trafik di antara 1.8 juta hingga 1.9 juta kenderaan di rangkaian lebuh raya kendaliannya bermula pada 17 November hingga 21 November yang akan datang.
PLUS jangkakan berlaku peningkatan trafik di antara 1.8 juta hingga 1.9 juta kenderaan di rangkaian lebuh raya kendaliannya bermula pada 17 November hingga 21 November yang akan datang.
A
A
A

SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan berlaku peningkatan trafik di antara 1.8 juta hingga 1.9 juta kenderaan di rangkaian lebuh raya kendaliannya bermula pada 17 November hingga 21 November yang akan datang.

Susulan itu, Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya akan mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa ketika pulang ke kampung untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

"PLUS mengeluarkan TTA sempena PRU15 di Lebuhraya Utara-Selatan bagi tempoh 16 November hingga 21 November 2022.

“Bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang bermula 16 November hingga 18 November, kami menasihatkan pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

“Manakala, pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya di antara jam 1 petang hingga 4 petang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (utara), Johor dan lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang bermula 20 November hingga 21 November.

"Orang ramai khususnya yang ingin pulang ke kampung halaman atau bergerak ke lokasi mengundi masing-masing dinasihatkan untuk membuat persiapan rapi dan merancang perjalanan dengan lebih awal untuk pulang dan kembali semula ke ibu kota semasa tempoh ini.

“Pengguna juga perlu menjangka menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa.

Artikel Berkaitan:

“Namun begitu, PLUS turut membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh tersebut,” ujarnya.

Ulas beliau, persediaan itu merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.

Tambahnya, jadual TTA itu boleh juga boleh dirujuk di laman web www.plus.com.my serta saluran-http://www.plus.com.my saluran media sosial PLUS.

Selain itu, menurutnya, PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 17 November sehingga 21 November 2022 kecuali kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal.

“PLUS akan menugaskan kira-kira 200 pasukan PLUSRonda untuk menjalankan rondaan 24 jam setiap hari di lebuh raya serta 1,500 kakitangan di plaza-plaza tol untuk melancarkan transaksi di plaza tol.

“Seramai 30 petugas di Pusat Pemantauan Trafik juga bersiap sedia untuk memantau pergerakan trafik serta membantu mengkoordinasi bantuan kepada pengguna lebuh raya melalui talian PLUSLine 1800-88-0000, telefon kecemasan dan Chatbot PUTRI," jelasnya.