PRU15: Zuraida bahayakan diri, kempen atas 'divider'

Video tular papar Zuraida berkempen atas divider tular di media sosial pada Selasa.
Video tular papar Zuraida berkempen atas divider tular di media sosial pada Selasa.
A
A
A

AMPANG - Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin sanggup membahayakan diri dengan berdiri di tengah jalan untuk berkempen bagi meraih undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tular video berdurasi 30 saat di media sosial memaparkan penyandang kerusi Parlimen Ampang itu memegang plakad sambil berdiri di pembahagi jalan atau 'divider' pada Selasa.

Difahamkan, video itu dirakam ketika Zuraida bersama penyokongnya hadir pada flashmob di jalan utama berhampiran stesen minyak Ampang Jaya pada pagi Selasa.

Tindakan merbahaya tersebut telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengguna media sosial yang bimbangkan keselamatan calon PBM kerusi Ampang itu.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi PBM, JC Jess Choi berkata, aspek keselamatan diutamakan dan telah diberikan taklimat awal sebelum flashmob itu diadakan.

Menurutnya, flashmob tersebut telah dilaksanakan sejak 2008 sebagai salah satu rangka kempen pilihan raya bagi meningkatkan kesedaran pengundi keluar mengundi.

"Terima kasih kerana prihatin dengan keselamatan YB (yang berhormat). Aspek keselamatan adalah menjadi keutamaan kami.

"Beliau (Zuraida) ke tengah jalan sebagai simbolik flashmob sahaja dan selepas itu berdiri di tepi jalan untuk meneruskan flashmob tersebut kira-kira 30 minit," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Flashmob merupakan salah satu kaedah Zuraida bagi raih undi bagi pertahan kerusi Ampang.
Flashmob merupakan salah satu kaedah Zuraida bagi raih undi bagi pertahan kerusi Ampang.

Mengambil kira pandangan awam, beliau berkata, program flashmob seterusnya akan menumpukan kawasan yang lebih selamat termasuk ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang.

Sementara itu beberapa netizen telah meninggalkan komen pada video tular di Twiiter antaranya pemilik akaun, Sirr yang khuatir berlaku kejadian tidak diingini semasa flashmob tersebut diadakan.

"Bahaya ni serius... Kalau tidak terlatih seperti penjual jeruk boleh kena langgar," tulisnya.

Saifullah Al-BotaKiri turut bersetuju dengan komen tersebut.

"Kalau lori laju tepi dia, boleh kena tarik melekat dekat tayar," tulisnya.

Selain itu, terdapat juga komen yang meluahkan rasa simpati dengan kaedah kempen yang dijalankan.

"Kesian aku tengok kempen dia. Dia begitu terdesak meraih undi," tulis Redza.