Rekod tanpa kalah Selangor FC cetus kegusaran TFC

Nafuzi - Foto Bernama
Nafuzi - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui rekod tujuh perlawanan tanpa kalah Selangor FC di bawah bimbingan bekas ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjadi cabaran getir buat skuad Penyu.

Justeru, beliau dengan tegas mengingatkan pemain supaya kekal fokus dan berusaha lebih keras ketika berkunjung ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam Rabu.

Menurutnya, skuad The Red Giants di bawah kendalian Cheng Hoe telah menunjukkan peningkatan mengagumkan dengan corak permainan lebih tersusun dan meyakinkan yang pastinya menggerunkan pihak lawan.

TFC perlu betul-betul bersedia kerana semestinya kita menjangkakan cabaran yang sengit daripada Selangor di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe.

"Dengan kualiti pemain yang ada terutama di bahagian sayap, sudah pasti bukan mudah untuk TFC mengekalkan momentum kemenangan lebih-lebih lagi di hadapan penyokong lawan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di sini, petang Isnin.

Selain itu, Nafuzi turut mengingatkan anak buahnya supaya mendapatkan rehat yang cukup bagi memastikan tahap kecergasan fizikal dan mental berada di tahap terbaik pada perlawanan yang sangat penting itu.

Beliau tidak menafikan jadual Piala Malaysia yang padat menyebabkan pemain sering diburu masalah kecergasan, sekali gus menjejaskan prestasi ketika beraksi di atas padang.

"Tiada isu kecederaan pemain, tetapi mungkin ada masalah kecergasan kerana jadual Piala Malaysia yang agak padat dari satu perlawanan ke perlawanan lain.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi saya percaya pemain tahu menjaga diri, kita pernah melalui situasi serupa ketika saingan Liga Super dan ia bukan halangan untuk kita berjaya," katanya yang masih belum memutuskan skuad kesebelasan utama malam esok.

Sepanjang penganjuran Piala Malaysia, Skuad Penyu hanya pernah sekali menjulang trofi Piala Malaysia iaitu pada 2001 manakala Selangor menjadi pasukan paling banyak mencipta kemenangan iaitu 33 kejuaraan dengan kali terakhir pada 2015. - Bernama