PRU15: Bantu pengundi muda untuk tingkat taraf hidup

Mohd Fakrunizam (dua dari kiri) menjadi panel program Sinar Live yang bertajuk ‘Jangan Harap Pengundi Muda’ disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.
Mohd Fakrunizam (dua dari kiri) menjadi panel program Sinar Live yang bertajuk ‘Jangan Harap Pengundi Muda’ disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Raub, Datuk Mohd Fakrunizam Ibrahim berpandangan bahawa perubahan perlu dilakukan bagi membantu pengundi muda untuk berdikari serta menaik taraf kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

Ujar beliau, golongan pengundi muda pada masa kini perlu disediakan platform untuk peluang pendidikan, pekerjaan dan tempat tinggal supaya mereka dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

“Mana yang pandai, ada rezeki mereka boleh sambung pelajaran ke tempat yang tinggi, masuk universiti dan dapat biasiswa atau PTPTN.

“Bagi yang kurang berkemampuan, tidak boleh sambung belajar, mereka hendak bekerja tetapi nak kerja apa?

“Ini yang kita kena fikirkan. Polisi-polisi kerajaan untuk pembentukan kerajaan baharu ini perlu diubah,” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live yang bertajuk ‘Jangan Harap Pengundi Muda’ disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Isnin.

Program yang dihoskan Fahiz Ariff itu turut menampilkan calon Gerakan Tanah Air (GTA) Parlimen Lipis, Aishaton Abu Bakar dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Parlimen Sungai Buloh, Ahmad Jufliz Faiza.

Selain itu, mengulas mengenai isu tempat tinggal pula, ulas Mohd Fakrunizam, ramai anak muda yang sudah berkahwin masih lagi tinggal bersama keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

“Kita nak kalau boleh anak muda ini boleh berdikari dan bekerja. Bila bekerja, mereka boleh membina keluarga, berkahwin dan membeli rumah.

“Ayat yang paling mudah untuk anak muda ini ialah kita kena mencari jalan membantu memberi mereka pancing, bukannya ikan.

“Beri pancing supaya boleh memancing ikan dan supaya mereka boleh meneruskan kehidupan,” ujarnya.