Forum KLSCAH tampil empat calon Parlimen Kuala Selangor

(Dari kanan) Tengku Zafrul, Mohd Shaid, Dzulkefly dan Mohd Noor dijadualkan dalam satu pentas sama pada Forum Sesi Pembentangan Pandangan Politik di One Plaza di sini pada Selasa.
(Dari kanan) Tengku Zafrul, Mohd Shaid, Dzulkefly dan Mohd Noor dijadualkan dalam satu pentas sama pada Forum Sesi Pembentangan Pandangan Politik di One Plaza di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Empat calon kerusi Parlimen Kuala Selangor dijadualkan bakal tampil dalam satu pentas sama pada Forum Sesi Pembentangan Pandangan Politik di One Plaza di sini pada Selasa.

Forum pada jam 8 malam itu menampilkan keempat-empat calon iaitu penyandang Parlimen Kuala Selangor dari Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; calon BN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; calon Perikatan Nasional, Mohd Noor Mohd Sahar dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohd Shaid Rosli.

Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan, Tan Cat Keong berkata, forum itu anjuran Jawatankuasa Perhubungan Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Daerah Kuala Selangor.

"Penganjuran forum ini membawa objektif memupuk budaya politik sihat berlandaskan Perlembagaan Malaysia dan membina sistem demokrasi matang ke arah negara maju," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Cat Keong berkata, penganjuran forum itu juga secara tidak langsung mendorong calon mengamalkan persaingan sihat dalam sistem demokrasi berperlembagaan.

Kata beliau, setiap calon bertanding dibenarkan membawa seramai 70 penyokong masing-masing menghadiri forum itu yang akan dipancarkan secara langsung di media sosial.

"Kita menyasarkan seramai 400 jemputan termasuk penyokong pada program ini untuk melihat dan menilai sendiri apakah gagasan yang ingin dibawa calon bertanding untuk rakyat di Parlimen Kuala Selangor," kata beliau.

Ujarnya, forum itu mempunyai dua sesi dan calon diberikan masa selama 12 minit untuk memperkenalkan diri dan menyampaikan manifesto masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Menurut Cat Keong, setiap calon dibenarkan memperkenalkan manifesto dalam bentuk video ringkas yang disediakan oleh calon sendiri.

"Bagi sesi kedua pula, setiap calon tidak dibenarkan meneruskan ucapan setelah masa habis digunakan.

"Ucapan calon juga tidak boleh mengandungi unsur negatif seperti memfitnah, mengutuk, mencaci atau menggunakan kata-kata kasar terhadap calon lain," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, pengundi di Parlimen Kuala Selangor digalak untuk menonton forum itu secara 'live' dan membuat penilaian mengenai apa yang ingin dibawa calon bertanding.

"Kami juga menyediakan beberapa soalan kepada calon bertanding mengenai perancangan yang ingin mereka laksanakan jika terpilih pada PRU15 nanti," jelasnya.