PRN Selangor: PH-BN masih runding kerusi

Amirudin (kanan) menandatangani plak perasmian Majlis Perasmian Pusat Smart Desa Balai Raya Kampung Sungai Air Tawar di sini pada Jumaat.
Amirudin (kanan) menandatangani plak perasmian Majlis Perasmian Pusat Smart Desa Balai Raya Kampung Sungai Air Tawar di sini pada Jumaat.
A
A
A

SABAK BERNAM - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Selangor masih dalam rundingan berkaitan agihan kerusi termasuk empat kerusi dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rundingan itu sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan Jawatankuasa Persekutuan PH-BN.

Beliau menjelaskan, perbincangan asal dan laporan rundingan yang dibawa ke peringkat jawatankuasa itu tidak mengganggu kuota kerusi dimenangi sama ada oleh PH atau BN.

"Kita hantar apa yang telah kita bincang kerana mereka (Jawatankuasa Pusat PH-BN) telah meminta senarai agihan.

"Malah, kita sendiri telah lalui dua atau tiga kali sesi (perbincangan) antara PH dan BN mengenai rundingan kerusi di peringkat negeri," katanya pada Majlis Perasmian Pusat Smart Desa Balai Raya Kampung Sungai Air Tawar di sini pada Jumaat.

Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata, di peringkat negeri semestinya ketetapan telah dibuat oleh PH-BN yang semestinya tidak mengganggu kerusi dimenangi parti bertanding pada PRU14 lalu.

"Kita tidak mengganggu kawasan kerusi yang telah dimenangi kecuali pertukaran suka sama suka antara parti," ujar beliau.

Ditanya mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak dan Meru yang sebelum ini dimenangi Parti Amanah Negara (Amanah) sebelum kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyertai PKR, Amirudin berkata, kerusi itu juga akan dikembalikan kepada Amanah.

"Penyandang kerusi terbabit nanti biar parti uruskan sebab ada juga kerusi ini kita bincang terutama bagi kerusi dimenangi Bersatu sebelum ini," jelas beliau.