Enggan mohon maaf, Razman sedia berdepan saman fitnah Anwar

Razman (tengah) bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar khas di Bagan Serai pada Isnin.
Razman (tengah) bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar khas di Bagan Serai pada Isnin.
A
A
A

BAGAN SERAI - Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria enggan memohon maaf dan bersedia berdepan tuntutan saman Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataanya bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mempromosikan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan menyokong isu komunis.

Razman berkata, pendirian itu dibuat demi menjaga akidah ummah dan kelangsungan Islam serta selari dengan dasar Pas untuk terus mempertahankan kesucian Islam, kemerdekaan dan kedaulatan negara.

"Saya tidak akan mohon maaf kerana memohon maaf ini bererti kita membenarkan kemungkaran politik ini tidak dicegah.

"Notis saman itu terpulanglah kepada beliau (Anwar), jika nak bawa ke mahkamah kita pergilah ke mahkamah.

"Perkara itu tidak sesekali menggoyahkan pendirian kerana bagi saya, nilai RM5 juta itu amat kecil berbanding dengan akidah, moral dan akhlak umat Islam. Jika perjuangan demi agama, maka harta dan nyawa sanggup ditaruhkan," katanya dalam sidang akhbar khas di sini pada Isnin.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol itu tetap pendirian bahawa kenyataan yang dibuat semasa berkempen di Pasar Malam Tebuk Pancur, 6 November lalu adalah keadaan yang berlaku ketika negara dipimpin PH.

Menurutya, selama 22 bulan PH mentadbir kerajaan, berlaku beberapa perkara yang menggusarkan umat Islam antaranya usaha menandatangani Statut Rom dan meratifikasi ICERD yang bercanggah dengan perlembagaan serta promosi golongan LGBT dalam masyarakat secara terbuka.

Ujar beliau, turut berleluasanya fahaman komunis hingga terdapat usaha menormalisasikan perjuangan komunis, berlaku kes penghinaan anggota keselamatan, penguat kuasa dan penjawat awam serta kes kebiadaban melampau terhadap institusi istana.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin saya tidak memfitnah. Ini adalah keadaan yang cuba diselindungkan daripada pengetahuan rakyat.

"Saya akan bawa bukti-bukti yang telah ternyata itu dan saya masih mempercayakan keputusan mahkamah walaupun sebelum ini saya pernah kena (tindakan saman) isu fitnah ini," katanya.

Razman menunjukkan kenyataan media berhubung pendiriannya berkaitan tuntutan maaf dan saman daripada Anwar.
Razman menunjukkan kenyataan media berhubung pendiriannya berkaitan tuntutan maaf dan saman daripada Anwar.

Exco Kerajaan Perak itu yakin, perkara yang berlaku tidak akan mempengaruhi sokongan rakyat terhadap Pas dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, Pas bukan berjuang untuk kedudukan sendiri, tetapi untuk perkara kebih besar terhadap agama dan bangsa.

"Saya akan terus memimpin Pas di negeri ini bagi menyekat agenda yang membahayakan negara dan masa depan generasi muda melalui politik pilihan raya," katanya.

Anwar sebelum ini menuntut permohonan maaf daripada Razman berhubung kenyataannya yang mendakwa beliau ada agenda menghalalkan perkahwinan sejenis sementara DAP membawa agenda komunis.

Dalam surat tuntutan (LOD) yang dihantar kepada Razman pada 8 November, Ketua Pembangkang itu turut menuntut RM5 juta sebagai ganti rugi kerana mencemarkan reputasinya, berserta kos guaman.