Tiga PPS ditutup, mangsa banjir menurun kepada 310 orang

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu penduduk setempat berpindah dari Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas ke PPS di SK Melayu Raya, Pontian pada Ahad
Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu penduduk setempat berpindah dari Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas ke PPS di SK Melayu Raya, Pontian pada Ahad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 143 mangsa banjir di Segamat dan Kulai ditutup pada petang Isnin.

Perkembangan tersebut menjadikan jumlah terkini mangsa banjir hanya 310 orang daripada 77 keluarga di enam PPS yang masih dibuka setakat jam 4 petang.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah berkenaan menunjukkan penurunan sedikit berbanding 453 orang daripada 107 keluarga pada jam 2 petang.

"Penurunan jumlah mangsa banjir itu selepas PPS di Balai Raya Kampung Kuala Paya, daerah Segamat ditutup pada jam 3 petang tadi.

"Semua mangsa banjir melibatkan empat orang daripada sebuah keluarga dari Kampung Kuala Paya di PPS tersebut sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Jelas JPBD, PPS di Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang serta Dewan Raya Kampung Murni Jaya di Kulai ditutup pada jam 1 dan 3 petang dan semua 148 mangsa banjir melibatkan 31 keluarga dari Kampung Baru Sengkang dan Kampung Murni Jaya dibenarkan pulang.

Menurut jawatankuasa tersebut, di Segamat masih terdapat 39 orang melibatkan 12 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 yang ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak.

Tambahnya, seramai 14 orang lagi melibatkan lima keluarga juga dari Kampung Seberang Batu Badak ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Tasek.

Artikel Berkaitan:

Sementara di Tangkak pula kata JPBD, seramai 206 orang melibatkan 49 keluarga dari Kampung Simpang 5 Darat; Kampung Parit Bunga Raya Hujung; Kampung Parit Bunga Raya dan Kampung Parit Pulai masih ditempatkan di dua PPS.

Mereka dipindahkan ke dua PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 5 Darat dan Sekolah Agama (SA) Simpang 5 Darat, kata JPBD lagi.

"Begitu juga mangsa banjir di Pontian masih berjumlah 17 orang daripada empat keluarga dari Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas yang dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya," demikian menurut kenyataan itu.