PRU15: Geramm bidas SPR tidak beri ruang kemuka soalan

Gambar hiasan - 123RF
Gambar hiasan - 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Gerakan Media Merdeka (Geramm) membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak memberi ruang kepada petugas media untuk melontarkan soalan pada sidang akhbar berhubung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menerusi kenyataannya pada Isnin, Geramm menegaskan, tugas media bukan hanya untuk mendengar secara sehala sebaliknya bertanyakan soalan bagi mendapatkan penjelasan lanjut dari pihak pengurusan SPR berhubung hal-hal berkaitan PRU15.

"Antara lain, sehingga kini SPR masih belum memberi sebarang penjelasan berkenaan prosedur mengundi bagi individu yang disahkan positif Covid-19, susulan kenyataan dari Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini," kata gerakan itu.

Tambah kenyataan itu, kegagalan atau keengganan SPR untuk membuka ruang kepada pihak media mendapatkan penjelasan lanjut akan berpotensi untuk menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sekali gus melemahkan sistem demokrasi.

"Perlu diingatkan SPR mempunyai peranan penting sebagai sumber maklumat rasmi tentang proses pilihan raya, sementara media bertugas untuk menyalurkan maklumat yang tepat.

"Sekiranya SPR bertegas untuk tidak membuka ruang kepada petugas media, maka tiada keperluan untuk menjemput media hadir secara fizikal. Cukup dengan menghantar kenyataan bertulis atau sesi dalam talian yang lebih menjimatkan masa semua pihak. Media bukannya burung kakak tua," jelas kenyataan itu.

Setakat ini, SPR telah mengadakan dua sidang akhbar iaitu pengumuman tarikh-tarikh penting dan pengesahan jumlah calon yang bertanding.

Tiada sebarang soalan daripada pihak pemberita dibenarkan untuk dikemukakan bagi kedua-dua sidang tersebut.

Artikel Berkaitan: