PRU15: Mustaffar Kamal mahu tumpu isu banjir di DUN Beserah

Mustaffar Kamal menawarkan diri untuk berkhidmat bagi membawa perubahan lebih progresif di Dun Beserah.
Mustaffar Kamal menawarkan diri untuk berkhidmat bagi membawa perubahan lebih progresif di Dun Beserah.
A
A
A

KUANTAN - Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah, Datuk Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid mahu menambah pusat penempatan banjir yang lengkap dengan kemudahan dan perkhidmatan di kawasan 'hotspot'.

Itu komitmen yang ditawarkan sekiranya beliau diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Menurutnya, langkah jangka pendek itu bagi mengurangkan kesan ditanggung mangsa terutama di kawasan Cherating dan Balok yang sering berlaku banjir termasuk banjir kilat.

Mustaffar Kamal yang juga Ketua UMNO dan Pengerusi BN Indera Mahkota berkata, walaupun banjir yang berlaku di beberapa kawasan di DUN Beserah tidak seteruk daerah lain, persediaan awal perlu dilakukan supaya mangsa dapat diselamat dan ditempatkan di pusat pemindahan yang selesa serta lengkap dengan pelbagai kemudahan.

"Pusat pemindahan di kawasan berisiko akan dikenal pasti termasuk pusat pemindahan sementara (PPS) sedia ada namun akan dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan lebih awal termasuk makanan dan keperluan lain," katanya.

Beliau berkata, komitmen itu termasuk dalam tiga fokus utamanya yang ditawarkan kepada pengundi di DUN tersebut.

Selain menangani isu banjir, mewujudkan Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) bagi memudahkan urusan penduduk di Sungai Ular, Cherating, Chendor dan kawasan sekitarnya antara terkandung dalam fokusnya itu.

Menyediakan kemudahan kesihatan 'mini hospital' untuk ibu dan anak yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk kemudahan bersalin juga akan diusahakan untuk kemudahan masyarakat di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, perhatian juga akan diberikan kepada usaha memperkasakan ekonomi nelayan pesisir pantai, penjaja kecil dan industri kecil sederhana selain membantu merancakkan lagi industri pelancongan di pesisir pantai dengan memperbanyakkan aktiviti dan program pelancongan tempatan dan antarabangsa," katanya.

Beliau yang telah menjalankan kerja kemasyarakatan di DUN Beserah sejak 10 tahun lalu turut memberi perhatian kepada rumah mampu milik dan kos rendah di kawasan Beserah bagi memberi peluang terutama kepada dan pasangan muda untuk memiliki rumah sendiri.

"Banyak lagi yang akan diberi tumpuan temasuk menambah baik prasarana dan infrastruktur, peluang pekerjaan, kemudahan untuk aktiviti golongan muda, dan pelbagai lagi sekiranya diberi peluang sebagai wakil rakyat kawasan ini" katanya.

Sementara itu beliau berkata, keputusannya bertanding pada PRU15 ini disebabkan tiada perubahan yang progresif di DUN Beserah selama tiga penggal di bawah Pas.

"Saya menawarkan diri untuk berkhidmat kepada rakyat di DUN Beserah bagi mendapatkan kembali mandat rakyat kepada BN agar sinergi kerjasama antara kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diselarikan seterusnya dapat menyampaikan kehendak rakyat kawasan ini dengan lebih berkesan," ujarnya.

Mustaffar Kamal yang pertama kali bertanding bakal berdepan saingan lima penjuru antara penyandang dari Perikatan Nasional (PN), Andansura Rabu; Pakatan Harapan (PH), Zulkifli Mohamed, Mohd Fauzi Taib (Pejuang) dan Joseph Yang Sain Yew (Bebas).