TFCSB balas kenyataan Nafuzi

No Image Caption
A
A
A

KONFLIK antara ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain dengan pengurusan kelab Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) semakin berpanjangan apabila kedua-dua pihak saling berbalas kenyataan.

Ia susulan pengakuan terbuka Nafuzi yang mendakwa pihak pengurusan TFCSB bersikap tidak profesional berhubung isu tawaran lanjutan kontrak beliau sebagai ketua jurulatih skuad Penyu untuk musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TFCSB, Ab Rasid Jusoh berkata, beliau terkejut dan terkilan dengan tuduhan secara terang-terangan oleh pengendali kelahiran Kelantan itu yang disifatkan mencemar imej kelab serta mencalar hubungan antara kedua-dua pihak.

Lebih dikesalkan, katanya konflik tersebut dicetus ketika TFC berada dalam momentum terbaik setelah layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

"Mengenai isu lambat menawarkan kontrak kepada jurulatih tersebut (Nafuzi), kelab haruslah dalam masa 30 hari sebelum tamat kontrak musim ini memberi notis kepada pegawai (Nafuzi) untuk melanjutkan kontrak.

"Pihak kelab mengesahkan telah mengutus surat tawaran pelanjutan kontrak bertarikh 27 Oktober 2022 berdasarkan kemampuan kelab yang disampaikan melalui Pembantu Operasi Unit Teknikal TFCSB kepada Nafuzi sebelum tamat kontrak beliau pada 30 November 2022," katanya dalam kenyataan media.

Menurut Ab Rasid, Nafuzi telah diberi tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan untuk memberi jawapan balas sama ada menerima, menolak atau meletakkan tarikh bagi perundingan terma-terma kontrak.

Bagaimanapun pihaknya tidak menerima apa-apa maklum balas sehinggalah kenyataan terbuka yang dibuat Nafuzi pada sidang media selepas perlawanan suku akhir kedua menentang Kuala Lumpur City (KL City) FC Sabtu lepas.

Artikel Berkaitan:

"Pihak pengurusan juga mendapati Nafuzi telah berunding dan menandatangani perjanjian lebih awal dengan sebuah pasukan di Liga Super pada Ogos 2022. Ia menyalahi serta melanggar syarat kontrak yang tidak membenarkan pegawai (Nafuzi) menandatangani perjanjian dengan mana-mana pasukan selagi berada dalam tempoh kontrak," katanya.

Susulan itu, Ab Rasid berkata, pihaknya sedang meneliti bentuk tindakan yang akan diambil terhadap jurulatih muda itu yang disifatkan sebagai melanggar syarat serta mencalar imej kelab.

Semalam media melaporkan Nafuzi meluahkan rasa terkilan dengan layanan pihak pengurusan TFCSB terhadapnya yang disifatkan sebagai tidak profesional, apabila menggunakan khidmat 'kitman' sebagai orang tengah untuk menyerahkan surat tawaran lanjutan kontrak tanpa beliau dipanggil untuk sebarang perbincangan. - Bernama