Insiden bom lempar: Mangsa ketiga cedera kedua-dua belah mata

Laporan Sinar Harian berhubung kejadian.
Laporan Sinar Harian berhubung kejadian.
A
A
A

TAMPIN - Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang cedera parah dalam insiden bom lempar meletup ketika sesi latihan di Kem Syed Sirajuddin,Gemas dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kuala Lumpur.

Markas Tentera Udara sebelum ini memaklumkan Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, berasal dari Kluang, Johor merupakan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan dilaporkan stabil dan dalam pemantauan di Hospital Segamat, Johor.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, berdasarkan laporan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kedua-dua belah mata.

"Mata kanannya stabil, cuma mata sebelah kiri mengalami kecederaan agak teruk dan pembedahan mata telah dilakukan oleh doktor pakar di Hospital Segamat, Johor.

"Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk rawatan lanjut," katanya pada Selasa.

Media sebelum ini melaporkan dua anggota TUDM maut dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah hari itu.

Individu yang maut merupakan Laskar Udara 1, Mohd Iqmal Masdi, 22 manakala, Koperal Udara Mohd Syuib Bidin, 33 merupakan jurulatih meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat.

TUDM sebelum ini memaklumkan akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan berhubung kejadian bom lempar itu serta menyerahkan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Anggota TUDM maut, 2 jurulatih cedera sesi latihan di Gemas

Seorang lagi anggota maut, TUDM akan tubuhkan Lembaga Siasatan

Insiden bom lempar: Suasana pilu selubungi pengebumian jenazah jurulatih TUDM

Insiden bom lempar: Pakar bahan letupan antara panel penyiasat

Jenazah Mohd Iqmal selamat dikebumikan