Jangan biarkan rasuah berakar umbi dalam negara

Mohd Akmal Mohd Yusof
Mohd Akmal Mohd Yusof
A
A
A

SUNGAI BULOH – Calon Sungai Buloh daripada Gerakan Tanah Air (GTA), Mohd Akmal Mohd Yusof tidak akan berkompromi dalam menangani gejala rasuah yang sudah menjadi budaya di negara ini.

Menurutnya, amalan rasuah perkara penting yang perlu diperangi GTA khususnya Pejuang sebagai salah satu komponen parti tersebut.

“Kami daripada Pejuang mahu menangani gejala rasuah yang boleh merosakkan ekonomi dan pembangunan negara.

“Isu rasuah adalah penyakit yang jika tidak diubati kesannya akan dirasai oleh anak cucu kita pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau turut mengambil contoh bagaimana rasuah boleh menafikan hak sebuah syarikat yang layak mendapatkan tender kerajaan tetapi kerana rasuah dan kronisme, projek tersebut diberikan kepada syarikat yang tidak mempunyai pengalaman.

“Kami juga mencadangkan diwujudkan akta atau undang-undang khas mengehadkan nilai pemberian hadiah kepada kakitangan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kita kena hadkan polisi pemberian hadiah ini seperti di luar negara, contohnya mereka mengehadkan nilai hadiah yang boleh diterima kakitangan kerajaan atau agensi berkaitan kerajaan tidak melebihi RM400,” ujarnya.

Akmal juga bersedia untuk mengambil ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) bagi menambahkan keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan pengundi negeri itu.

Artikel Berkaitan:

“Ini langkah yang baik kerana ia dapat memberikan peluang kepada pengundi memilih calon yang bersih dan bebas rasuah,” katanya.