'Kami dah banyak kali pindah ke PPS'

Seramai 93 mangsa daripada 26 keluarga ditempatkan di PPS Dewan SMK Abdul Rahman Talib susulan kejadian banjir sejak Sabtu. (Gambar kecil: Abdul Rahim, Saniah)
Seramai 93 mangsa daripada 26 keluarga ditempatkan di PPS Dewan SMK Abdul Rahman Talib susulan kejadian banjir sejak Sabtu. (Gambar kecil: Abdul Rahim, Saniah)
A
A
A

TELUK INTAN - "Kami dah banyak kali pindah ke PPS (pusat pemindahan sementara), setahun entah berapa kali dah," demikian kongsi Abdul Rahim Hassan, 44, seorang daripada mangsa banjir di Changkat Jong di sini.

Abdul Rahim berkata, kejadian banjir di kawasan itu sudah terlalu kerap berlaku hinggakan penduduk sendiri lali dengan keadaan itu.

Malah menurutnya, kediamannya di Kampung Batu 7 juga banyak kali dimasuki air hingga mengakibatkan peralatan dan kelengkapan rumah sering rosak.

"Banjir memang kerap berlaku, dalam setahun kadang-kadang dua kali kami dipindahkan ke PPS.

"Malam tadi pun, air dah naik tinggi sampai paras lutut, demi keselamatan kami semua diminta pindah ke PPS," katanya.

Hujan lebat berterusan sejak Sabtu menyebabkan 93 mangsa daripada 26 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di sini.

Antara kawasan terjejas termasuklah Kampung Batu 7 (Lorong Mesra, Lorong Kedah, Lorong Sidang Osman) dan Kampung Batu 9 di Simpang Tiga.

Seorang lagi mangsa banjir, Saniah Ahmad, 77, sempat menyelamatkan beberapa barangan penting sebelum dibawa ke pusat pemindahan.

Katanya, oleh kerana kerap banjir, dia boleh menjangkakan bila paras air akan naik menyebabkannya telah bersiap sedia terlebih dahulu.

"Dah selalu tiap-tiap tahun saya kena pindah. Bahagian dapur kami tenggelam cuma selamat di bahagian tingkat atas.

"Jadi barang-barang penting tu cepat-cepat kami letak atas,” ujarnya