PRU15: Wakil rakyat NGO bakal ubah landskap politik negara

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

JERLUN - Calon pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketengahkan bawah Gerakan Tanah Air (GTA) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal merubah landskap politik negara sekiranya diberikan mandat sebagai wakil rakyat.

Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kepakaran wakil NGO terbabit akan memperkemaskan sistem pentadbiran mengikut kepakaran masing-masing.

Menurutnya, inisiatif Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan konsep baharu dengan menggabungkan politik dan NGO adalah pendekatan luar biasa dan belum pernah dilakukan mana-mana gabungan sebelum ini.

“Sangat menarik apabila saya berjumpa dengan beberapa kumpulan petani dan mereka pesan untuk saya terus bangkitkan isu-isu padi di Dewan Rakyat.

“Saya maklumkan kepada mereka dalam PRU15 ini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) bertanding bawah GTA atau Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Pendang.

"Sekiranya saya bercakap dalam Dewan Rakyat atau DUN berkenaan isu padi mengikut kefahaman saya, bayangkan kalau wakil pesawah sendiri yang bercakap dan tahu lebih mendalam masalah petani,” katanya ketika ditemui membantu sekumpulan pengundi muda membuat semakan atas talian di Chik Own Kitchen, Alor Biak pada Sabtu.

Mukhriz (kiri) membantu sekumpulan pengundi muda yang kali pertama mengundi membuat semakan atas talian di Chik Own Kitchen, Alor Biak pada Sabtu.
Mukhriz (kiri) membantu sekumpulan pengundi muda yang kali pertama mengundi membuat semakan atas talian di Chik Own Kitchen, Alor Biak pada Sabtu.

Mukhriz yang juga Presiden Pejuang berkata, penerimaan penduduk setempat terhadap calon NGO sangat baik walaupun sebelum ini tidak pernah terbabit dalam politik.

Artikel Berkaitan:

“Sudah tentu suara petani itu dapat kita ketengahkan melalui wakil NGO, iaitu Pesawah. Manakala isu kepenggunaan akan kita suarakan melalui Persatuan Pengguna Kedah (Cake),” kata calon Parlimen Jerlun itu lagi.

Tiga wakil NGO bertanding di Kedah, iaitu Abdul Rashid Yob yang merupakan Exco Pesawah; Mohamad Yusrizal Yusoff (Presiden Cake) serta Datuk Mohd Nizam Mahshar yang merupakan Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa dan Penyelidikan Untuk Kelestarian (IDRIS).

Manakala seramai 14 wakil NGO mewakili GTA bertanding dalam PRU15 kali ini, iaitu empat di Selangor, dua di Pulau Pinang serta masing-masing seorang calon di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Perlis.