Abdul Hadi kongsi prestasi sebagai Duta Khas Timur Tengah

Tangkap layar muka depan Kad Laporan Utusan Khas PM Ke Timur Tengah oleh Abdul Hadi.
Tangkap layar muka depan Kad Laporan Utusan Khas PM Ke Timur Tengah oleh Abdul Hadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkongsikan kad laporan yang merekodkan prestasinya sebagai Duta Khas Perdana Menteri (PM) Ke Timur Tengah.

Menerusi dokumen yang dikongsikan pada Sabtu, kad laporan itu antara lain mengemukakan peranan utama dimainkan beliau ketika menjawat jawatan tersebut.

Ia antaranya melibatkan usaha pengukuhan kerjasama bersama negara timur tengah, mengemukakan cadangan kepada kerajaan berkenaan langkah meningkatkan kerjasama dengan negara rantau itu dan menggerakkan misi khas dunia Islam.

Sepanjang memegang jawatan itu bermula 2 April 2020, Hadi dilaporkan membuat 12 pertemuan bersama, duta dari negara timur tengah seperti Arab Saudi, Yaman, Qatar, Oman, Afghanistan, Syria, Bahrain, Mesir, Azerbaijan, Palestin, Iran dan Turkiye.

Beliau turut berperanan memulakan langkah kepada pembukaan pintu kerjasama baharu antara Malaysia dan Qatar menerusi dua siri pertemuan diadakan bersama duta negara tersebut dan lawatan kerja di negara berkenaan.

Dalam pada itu, kad laporan itu turut menyentuh mengenai beberapa usaha dilaksanakan Abdul Hadi untuk menggerakkan misi khas ke dunia Islam antaranya melalui pernyataan kesediaan bagi kerjasama dengan Qatar misi pembangunan semula Afghanistan meliputi penyelarasan dan misi bantuan kemanusiaan.

Selain itu, beliau turut mencadangkan penganjuran persidangan ulama antarabangsa dan persidangan ulama wanita di Doha, Qatar melalui pertemuan bersama Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS), Sheikh Dr Ahmed al-Raissouni serta Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen.

Pada masa sama, Abdul Hadi turut berperanan dalam menggerakkan bantuan kemanusiaan di beberapa negara Islam yang mengalami konflik antaranya di Lubnan, Palestin dan Yaman.

Artikel Berkaitan:

Bagi misi di Palestin, beliau telah menyelaras kutipan dana #Aid4Palestine melalui kaedah ‘crowdfunding’ dengan jumlah kutipan terkumpul dalam fasa satu adalah sebanyak RM16.8 juta.

Dalam pada itu, penyelarasan bantuan dijalankan di negara bergolak itu meliputi projek kecemasan melalui pek makanan kepada 500 keluarga terjejas, pembaikan semula sebanyak 22 buah rumah, bantuan perubatan dan pendidikan yang dilaksanakan bersama Universiti Islam Gaza.

Kad laporan tersebut turut menyatakan bahawa Abdul Hadi telah mengemukakan dua dokumen dalam bentuk laporan eksekutif dan kertas cadangan kepada kepada kerajaan berkenaan langkah meningkatkan kerjasama dengan negara timur tengah.