PRU15: BN perlu menang 10 kerusi jika mahu tawan Selangor

Noh (empat dari kanan) hadir pada Program Kenduri Rakyat di Kampung Dato' Hormat Sungai Air Tawar di sini pada malam Sabtu.
Noh (empat dari kanan) hadir pada Program Kenduri Rakyat di Kampung Dato' Hormat Sungai Air Tawar di sini pada malam Sabtu.
A
A
A

SABAK BERNAM - BN Selangor perlu memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di negeri ini sebagai pemangkin semangat kepada parti itu untuk merampas Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, sekiranya kemenangan itu dapat 'diterjemahkan', tidak mustahil parti itu mampu menawan negeri itu yang diperintah Pakatan Harapan (PH) sejak tiga penggal lalu.

"Kita sasar (menang kerusi Parlimen di Selangor) tidak banyak, jika dapat 10 kerusi pun cukup baik sebagai permulaan kepada BN bangkit di Selangor.

"Kalau BN dapat 10 kerusi Parlimen di negeri ini, saya yakin semangat ini akan dibawa ke DUN Selangor apabila dibubarkan nanti," katanya pada sidang akhbar selepas Program Kenduri Rakyat di Kampung Dato' Hormat Sungai Air Tawar di sini pada malam Sabtu.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, BN Selangor menampilkan ikon baharu bertanding pada PRU15 yang diyakini mampu menarik sokongan pengundi.

Saya sudah cuba yang terbaik membawa tokoh di peringkat kebangsaan antaranya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Khairy Jamaluddin, Isham Jalil dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Abd Rahman Bakri yang kembali semula untuk memperkuatkan BN Selangor," katanya.

Beliau memberitahu, sebelum ini BN Selangor hanya tinggal satu kerusi Parlimen dimenangi beliau di Parlimen Tanjong Karang yang kemudiannya beliau dilantik sebagai menteri kabinet.

"Sebab itu saya perlukan bantuan daripada menteri persekutuan seperti Tengku Zafrul dan Khairy untuk membantu kita di Selangor," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kecenderungan pengundi untuk membuat pilihan pada PRU15, Noh menjelaskan ia sesuatu yang sukar untuk diramal berikutan berlaku saingan sengit daripada parti bertanding.

"Kalau dulu tak banyak parti bertanding dan hanya berlaku dua atau tiga penjuru sahaja dan mudah untuk kita membuat ramalan.

"Jika PRU lalu, saingan kita hanya PH dan Pas, tetapi sekarang sudah ada parti lain akibat perpecahan daripada parti Bersatu antaranya Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) dan Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia)," kata beliau.

Bagaimanapun Noh menjelaskan, BN mempunyai kelebihan sekiranya pengundi 'putih' parti itu keluar mengundi dan memilih BN.

"Pengundi atas pagar mungkin ada berlaku pecahan undi kepada parti yang mereka pilih, tetapi jika pengundi putih BN ini kekal menyokong BN sudah tentu kita ada kelebihan berbanding parti lawan," ujarnya.