Polis siasat poster calon BN Parlimen Jerai disimbah cat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Polis sedang menyiasat laporan berhubung poster calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Jerai di tepi jalan Simpang Empat, Jalan Pulau Bunting, dekat Yan, yang disimbah cat hitam tengah malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian poster Datuk Seri Jamil Khir Baharom disimbah cat hitam itu kira-kira 12.35 tengah malam Sabtu.

Laporan telah dibuat oleh seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerai selepas dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat cat hitam yang disimbah di bahagian wajah calon di poster berkenaan. Siasatan sedang dijalankan dan bagi mana-mana saksi yang menyaksikan kejadian boleh tampil memberikan maklumat kepada polis,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Menurutnya, kejadian berlaku di kawasan yang tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) selain kawasan gelap.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

"Saya ingin menasihatkan semua pihak supaya tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan selain mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan sepanjang tempoh berkempen,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: