Pilih parti sebagai penentu undi pada PRU15 ini

Foto hiasan. Gambar kecil: Muhammad Hasrul (kiri), Mazlina dan S.Paramasivam.
Foto hiasan. Gambar kecil: Muhammad Hasrul (kiri), Mazlina dan S.Paramasivam.
A
A
A

KUANTAN - Sokongan terhadap parti masih menjadi pertimbangan para pengundi dalam menentukan undi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Berdasarkan tinjauan Sinar Ahad terhadap 10 pengundi di Pahang, enam daripada mereka lebih memilih parti berbanding calon, manifesto atau isu.

Bagi mereka parti adalah tonggak dan calon yang dipilih adalah berdasarkan pertimbangan terbaik pucuk pimpinan untuk menang dalam setiap pilihan raya termasuk pada PRU15 ini.

Bagi Muhammad Hasrul Hashim,33, S.Paramasivam, 34, Mazlina Ibrahim, 45, Nor Aziah Alias@Abdullah,35, Kwan Lian Fuat,67 dan S Kartialiny, 30, parti lebih diutamakan sebagai penentu undi mereka.

Sementara itu, bagi Mohd Rosdi Awang, 38, Mohd Farizal Rahman, 34 dan Zakaria Ramli, 55 lebih memilih calon.

Mereka berpandangan, seseorang calon boleh menjadi faktor kepada penerimaan atau penolakan terhadap sesebuah parti yang bertanding.

Bagi mereka, calon yang dekat dengan pengundi, berkredibiliti, bersih dan mampu berkhidmat dengan baik amat penting untuk dipilih sebagai 'wakil rakyat' sama ada peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Borhanuddin Suhaimi, 64, lebih memilih kedua-duanya, parti dan calon.

Artikel Berkaitan:

Sama ada parti atau calon yang menjadi pertimbangan undi, semua yang ditemui itu mengakui akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada PRU15 ini.

Mereka juga sudah membuat keputusan dalam menentukan parti dan calon yang akan dipilih pada hari mengundi yang dijadualkan pada 19 November ini.