Felda di Johor masih kubu kuat BN, kata Onn Hafiz

Onn Hafiz (depan, tengah) bersama warga Felda yang hadir pada Program Himpunan #budakFELDA 2022 di Dewan Inas Utara pada Sabtu. - Foto Bernama
Onn Hafiz (depan, tengah) bersama warga Felda yang hadir pada Program Himpunan #budakFELDA 2022 di Dewan Inas Utara pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KULAI - Kawasan Felda di Johor masih merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor itu berkata, ia boleh dilihat berdasarkan sambutan yang diterima daripada warga peneroka pada setiap program dianjurkan BN di negeri ini.

"Warga Felda tahu siapa yang membela mereka dari dahulu sampai sekarang dan BN juga menjaga ekonomi mereka,” katanya kepada pemberita selepas Program Himpunan #budakFELDA 2022 anjuran Majlis Belia Wilayah Johor Bahru di sini pada Sabtu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, Felda bukan lagi kubu kuat BN, selain komuniti itu sudah berubah dan memberi sambutan kepada parti politik lain serta terbuka dengan sebarang perubahan.

Dalam perkembangan lain, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan cuti khas pada 20 November sempena hari pengundian 19 November ini bagi menyelaras cuti mingguan serta menggalakkan mereka yang menetap di Johor untuk pulang mengundi ke tempat masing-masing.

"Nanti kita pertimbangkan," katanya ringkas. - Bernama

Artikel Berkaitan: