PRU15: Sokongan terhadap PN kian melonjak - Muhyiddin

Muhyiddin (lima dari kanan) bersama calon PN bagi kerusi DUN dan Parlimen Paya Besar serta Maran yang diperkenalkan pada Program Sembang Santai Bersama Masyarakat Felda Lepar Hilir 3, Kuantan pada Khamis.
Muhyiddin (lima dari kanan) bersama calon PN bagi kerusi DUN dan Parlimen Paya Besar serta Maran yang diperkenalkan pada Program Sembang Santai Bersama Masyarakat Felda Lepar Hilir 3, Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Sambutan terhadap Perikatan Nasional (PN) yang melonjak dan meningkat mendadak membuktikan rakyat negara ini mula beralih arah kepada parti yang mampu membentuk sebuah kerajaan lebih prihatin dan bertanggungjawab.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan sambutan terhadap kempen yang dihadirinya sebelum ini, sokongan terhadap PN agak luar biasa.

Menurutnya, banyak kawasan yang dihadiri bagi menyokong kempen calon PN telah memperlihatkan satu situasi yang agak luar biasa dengan sambutan sangat hebat.

"Saya baru balik dari Perak, Kedah dan Perlis, program kempen kita di sana dapat sambutan dan orang ramai menyambut baik calon-calon dikemukakan PN.

"Ini jelas menunjukkan mereka sudah ada kesedaran baharu, seolah-olah mahukan perubahan dan pembaharuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Sembang Santai Bersama Masyarakat Felda Lepar Hilir 3 di sini pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Muhyiddin berkata, kehidupan rakyat belum pulih sepenuhnya selepas pandemik dan mereka dilihat mahukan sebuah parti yang mampu membentuk kerajaan lebih prihatin dan bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat masih ingat usaha kerajaan PN ketika tempoh pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu apabila pelbagai bantuan telah dihulurkan bagi meringankan beban mereka yang terkesan," katanya.

Bekas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, PN bertindak memberi tumpuan kepada isu-isu kritikal dan ia menjadi antara sebab minat terhadap perikatan itu meningkat termasuk dalam kalangan warga Felda.

Sementara itu katanya,warga Felda kini bersikap lebih terbuka dan sedia menerima tawaran parti lain seperti PN untuk perubahan dan pembaharuan.

"Situasi ini menunjukkan Felda bukan lagi kubu kuat bagi UMNO dan BN.

"Sambutan dan penerimaan masyarakat Felda terhadap parti lain memang jarang berlaku sebelum ini namun kini ia telah berubah.

"Dulu bendera parti pembangkang jarang kita lihat dinaikkan tetapi hari ini bukan hanya bendera tetapi program kita (PN) di Felda juga dapat sambutan begitu menggalakkan," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan satu perubahan besar sikap penduduk Felda.

“Mereka bukan sahaja mahukan perubahan dan pembaharuan malah mula yakin dengan PN yang fokus untuk membantu warga Felda melalui pelbagai inisiatif yang telah diumumkan termasuk menyelesaikan hutang peneroka, pembinaan infrastruktur, menyelesaikan isu generasi baharu, isu rumah dan sebagainya," ujarnya.