KBS cadang perluas Kabin e-Sukan setiap negeri

Ahmad Faizal (kiri) sambil disaksikan Muhammad Naim Al-Amin menyempurnakan Pelancaran E-Sports Youth Cabin Perak di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Ahmad Faizal (kiri) sambil disaksikan Muhammad Naim Al-Amin menyempurnakan Pelancaran E-Sports Youth Cabin Perak di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merancang untuk mewujudkan Kabin Sukan Elektronik (E-Sukan) di setiap negeri.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bukan itu sahaja, pihak kementerian juga berhasrat untuk memperluaskan kemudahan bagi peminat e-Sukan itu di setiap daerah.

Jelas beliau, kemudahan itu bukan sahaja dapat dimanfaatkan sebagai tempat golongan muda bermain permainan e-Sukan tetapi menggunakannya bagi aktiviti-aktiviti lain.

Buat masa sekarang ni kita mengharapkan ia dapat diadakan di setiap negeri. Satu masa nanti kita harapkan ia dapat juga perluaskan di peringkat daerah. Seperti Youth Center yang telah saya lakukan pecah tanah sebelum ini, ia juga sebagai satu pusat untuk digunakan bagi mengadakan pelbagai aktiviti.

"Seperti Kabin E-Sukan ini, tak semestinya ia digunakan semata-mata untuk permainan e-Sukan tetapi dia boleh digunakan sebagai tempat seminar, bual bicara dan sebagainya. Kita boleh jemput selebriti sukan datang bagi semangat kepada anak-anak muda untuk terus berada dalam sukan ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelancaran E-Sports Youth Cabin Perak di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi Persatuan Sukan Elektronik Perak (ESP), Muhammad Naim Al-Amin Saharudin.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, fasiliti sukan yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan penganjuran aktiviti sukan yang lain.

Menurutnya, perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan kemudahan tersebut dapat dioptimumkan penggunaannya seperti gelanggang futsal yang dibina kerajaan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Gelanggang futsal ini saya fikir tak semestinya digunakan untuk permainan futsal semata-mata, ia boleh jadi gelanggang bola keranjang, tempat permainan bola jaring, sepak takraw dan sebagainya.

"Saya mengesyorkan kepada semua pihak untuk bekerjasama dengan persatuan-persatuan sukan dan persatuan penduduk untuk sentiasa mengadakan aktiviti-aktiviti yang berfaedah di fasiliti yang disediakan," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Faizal turut menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara ESP dengan Homebois, MAB ESports Championship.

Kabin Belia e-Sukan Negeri Perak diwujudkan sebagai hab untuk komuniti e-Sukan di negeri yang akan ditempatkan bersebelahan Velodrom Rakyat di sini.