Rezal nafi 'angkat kaki'

Rezal
Rezal
A
A
A

PENGENDALI Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya menafikan spekulasi bahawa beliau akan berhijrah ke kelab lain menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Sebaliknya, Rezal yang masih mempunyai baki kontrak dua tahun, sedia bekerjasama dengan ketua jurulatih baharu yang akan membimbing The Red Warriors (TRW).

"Ada dua tahun lagi kontrak bersama Kelantan FC. Saya juga diberitahu pihak pengurusan bahawa akan kekal untuk musim depan dan ia satu proses yang baik juga untuk saya apabila dapat bekerjasama dengan jurulatih baharu nanti.

Ini adalah masa terbaik saya untuk menimba ilmu dengan jurulatih baharu kerana dalam masa terdekat saya akan mengambil kursus bagi mendapat Lesen Pro A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Buat masa ini masih belum ada lagi lesen berkenaan dan sebab itu saya tidak boleh dikekalkan sebagai ketua jurulatih," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Terdahulu, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memaklumkan empat jurulatih menyatakan minat untuk membimbing TRW musim depan, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depan Rezal.

Dalam pada itu, Rezal berkata, Norizam sedang berusaha mendapatkan pemain import yang berkualiti memandangkan Kelantan FC akan bersaing di pentas Liga Super musim depan.

"Setakat ini masih belum ada kata putus pemain mana yang dikekalkan dan dilepaskan. Proses itu akan dibuat tidak lama lagi bagi memberi ruang kepada pemain yang digugurkan untuk mencari pasukan lain.

Artikel Berkaitan:

"Malah, pasukan ini juga perlu ada pemain berpengalaman tempatan serta pemain import berkualiti bagi mengimbangi kekuatan di setiap posisi," ujarnya.