PRU15: 22 bulan PH tadbir kerajaan tidak gagal - Aminuddin

Aminuddin (tengah) ketika sidang akhbar pada majlis berkenaan pada Sabtu.
Aminuddin (tengah) ketika sidang akhbar pada majlis berkenaan pada Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan dakwaan yang gabungan itu gagal ketika mentadbir kerajaan dalam tempoh 22 bulan.

Malah katanya, sepanjang tempoh berkenaan PH tidak menyusahkan rakyat terutamanya dalam soal kenaikan harga barang keperluan termasuk minyak petrol.

"Kegagalan kita 22 bulan tidak menyusahkan rakyat. Dalam tempoh 22 bulan itu, kita masih ada telur dan harga ayam RM6.50 sekilogram. Harga minyak petrol pula tidak lebih RM3.

"Apabila dimomokkan bahawa PH adalah kerajaan gagal ketika mentadbir negara tetapi hari ini rakyat nak makan pun susah. Adakah ini sebuah kejayaan? Kegagalan itu sebenarnya mereka, bukannya kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Ramah Mesra Calon bersama Media di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga calon PH Parlimen Port Dickson berkata, kempen secara maya lebih mendapat sambutan terutamanya daripada anak muda.

"Sekarang aplikasi media sosial seperti Instagram dan TikTok mendapat tempat dalam kalangan anak muda dan golongan warga emas juga tidak ketinggalan mengikuti kempen kita secara maya.

"Siaran langsung kita ada mencecah lebih 20,000 tontontan seperti jelajah dan Ayuh Malaysia sekali gus boleh ditonton secara santai bersama keluarga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Aminuddin berkata, beliau lebih memilih kempen secara konvensional dengan bertemu pengundi ketika program turun padang sama ada di kedai kopi, surau,masjid mahupun di pasar malam.

"Saya masih kekalkan begitu kerana masyarakat ini pelbagai yang mana sebahagiannya suka secara maya tetapi pada masa sama mereka juga ingin lihat komitmen wakil rakyat yang mereka lantik itu.

"Jadi yang konvensional ini saya gunakan supaya dapat bersua muka dengan 105,000 pengundi saya. Ia mungkin mustahil, sekurang-kurangnya saya dapat bertemu walaupun terhad dan itu komitmen yang ingin saya tunjukkan," katanya.