63 orang jemaah umrah terkandas dibawa pulang

Siaran media wisma putra
Siaran media wisma putra
A
A
A

SHAH ALAM - Kesemua 63 jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu telah dibawa pulang ke tanah air selepas kumpulan terakhir melibatkan 23 jemaah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, kumpulan terakhir itu tiba pada jam 1.20 petang menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH8023).

“Kumpulan pertama seramai 36 orang telah tiba pada 4 November lalu diikuti dengan kumpulan kedua seramai empat orang yang tiba pada 7 November lepas.

"Urusan membawa pulang jemaah umrah yang terkandas ini telah dilaksanakan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi," kata Wisma Putra pada Sabtu.

Pada Isnin, Idris memaklumkan proses membawa pulang baki jemaah Malaysia itu secara beransur-ansur.

Pada Oktober lalu, Wisma Putra dalam satu kenyataan mendedahkan seramai 63 jemaah umrah itu terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

Kesemua jemaah sudah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan umrah pada Mac lalu.

Bagaimanapun mereka hanya berada di Madinah dan tidak pernah dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.

Artikel Berkaitan:

Susulan pelanggaran undang-undang tempatan, ketua kumpulan tarekat berkenaan diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lalu.

Menurut Wisma Putra, kerajaan Malaysia juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu usaha tersebut.

"Warganegara Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di luar negara," jelasnya.