PRU15: Muhyiddin sambut baik peningkatan sokongan pengundi Melayu

Muhyiddin ditemui selepas menghadiri dalam program santai anak muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram.
Muhyiddin ditemui selepas menghadiri dalam program santai anak muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram.
A
A
A

BATU PAHAT - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyambut baik kajian Merdeka Center yang menunjukkan sokongan pengundi Melayu lebih memihak kepada gabungan itu sebanyak 35 peratus.

Beliau berharap peningkatan itu akan berterusan sehingga 70 hingga 80 peratus supaya dapat membentuk kerajaan.

"Yang penting kita sudah tahu ada peningkatan.

"Namun kita tidak boleh buat kesimpulan sekarang, yang penting tunggu hingga 19 November ini," katanya selepas menghadiri dalam program santai anak muda Johor di Dewan Terbuka Taman Sri Penggaram.

Kajian Merdeka Center baru-baru ini, melaporkan sokongan pengundi Melayu lebih memihak kepada PN iaitu sebanyak 35%, manakala sokongan pengundi Melayu kepada BN adalah lebih rendah iaitu 28%.

Dalam pada itu, Muhyiddin memohon maaf mana-mana pihak yang tersinggung dengan kenyataan pengundi “masuk api neraka” jika memilih Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, seharusnya semua pemimpin PN perlu mengelakkan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Tak apalah saya fikir mereka sudah mengetahui penjelasannya.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak berapa gemar buat kenyataan seperti itu. Yang penting elakkan kenyataan boleh timbulkan salah faham dalam kalangan pengundi," katanya.

Semalam, Ketua Pemuda Pas Sik Shahiful Nasir tampil memohon maaf susulan ucapannya yang memberi amaran pengundi “masuk api neraka” jika memilih BN atau PH, berbanding PN.

Dalam video dimuatnaik dalam laman Facebook Pemuda PasbSik, Shahiful mengemukakan permohonan maaf, sambil mengakui kenyataan dibuat menyinggung ramai pihak.

Beliau juga mahu video berhubung kenyataan itu tidak disebarkan demi menjamin PRU bebas daripada isu perkauman dan agama melampau.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata isu kenyataan pemuda Pas Sik itu tidak perlu diperbesarkan.

Beliau berkata apa yang penting adalah mengenai apa yang ditawarkan oleh PN pada rakyat.