GRS ambil tindakan jika terbukti Rubin terlibat kempen KDM

Hajiji menyempurnakan gimik perasmian bangunan tambahan SMK Saint Joseph Papar.
Hajiji menyempurnakan gimik perasmian bangunan tambahan SMK Saint Joseph Papar.
A
A
A

PAPAR - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang sekiranya terbukti beliau terlibat secara langsung berkempen untuk anaknya, Riduan Rubin sebagai calon parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau masih menunggu laporan berhubung dakwaan penglibatan Rubin menyokong dan membantu kempen Riduan yang bertanding atas tiket Bebas.

"Kita tengok dulu, kalau dia terlibat secara langsung, kita boleh ambil tindakan. Tetapi pertama saya kena minta laporan dulu.

"Kita perlu adil kepada semua. Kalau hanya berdasarkan gambar beliau duduk dengan anaknya, kita tidak boleh ambil tindakan. Tetapi kalau betul dia (Rubin) menyokong secara terang-terangan, kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Tambahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Joseph di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin agar tindakan disiplin diambil terhadap Rubin yang didakwa melanggar syarat perjanjian GRS-BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bung sebelum ini mendakwa pembabitan Rubin selaku wakil rakyat GRS, menjadi dalang dalam penyertaan Riduan ke dalam KDM.

Hajiji berkata, Rubin merupakan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tenom.

Sementara itu, bercakap mengenai status keahlian Riduan, Hajiji berkata, Riduan telah meletak jawatan dari Bersatu sebelum hari penamaan calon dan berdasarkan peraturan parti tiada tindakan yang boleh diambil terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah dalam ucapannya menekankan pentingnya aspek pendidik yang menjadi salah satu agenda penting dalam gagasan dan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk rakyat dan Sabah.

Beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada SMK Saint Joseph bagi membeli peralatan dan perkakas sekolah.