PRU15: Polis buka kertas siasatan kes gambar calon DUN Bebar

Ramli
Ramli
A
A
A

KUANTAN - Satu kertas siasatan dibuka berhubung kes gambar salah seorang calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar, Pekan yang disalahgunakan pihak tertentu bagi mencemarkan imej calon tersebut.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, gambar tersebut disebarkan melalui pesanan mesej bergambar dengan ayat yang menjelekkan bertujuan memburukkan calon itu.

Menurutnya, laporan polis berhubung kejadian itu diterima daripada seorang lelaki pada Jumaat dan kes disiasat di bawah Seksyen 11(1)(d) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak polis mengingatkan pengguna media sosial supaya menghentikan menyebarkan atau berkongsi sebarang bentuk komunikasi yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan ketenteraman awam serta bersifat menghasut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Ramli berkata, sepanjang tempoh 24 jam pada Jumaat, sebanyak 186 permohonan permit kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah diterima di seluruh negeri dan diluluskan.

“Daripada jumlah permit kempen yang diluluskan itu, 180 daripadanya adalah permit untuk ceramah,” jelasnya.

Tambah beliau, dalam tempoh 24 jam pada Jumaat, pihaknya menerima 29 laporan polis berkait pilihan raya dan satu kertas siasatan telah dibuka untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini jumlah keseluruhan laporan polis yang diterima dalam tempoh kempen sehingga semalam adalah sebanyak 181 laporan dan lapan kertas siasatan telah dibuka di negeri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: