PRU15: Saya pilih bersama rakyat - Tian Chua

Tian Chua (dua dari kiri) memilih lambang kerusi sebagai simbolik kerusi untuk rakyat.
Tian Chua (dua dari kiri) memilih lambang kerusi sebagai simbolik kerusi untuk rakyat.
A
A
A

SENTUL - "Antara bersama rakyat Batu atau patuh dengan arahan parti, saya pilih bersama rakyat," kata calon Bebas bagi kerusi Parlimen Batu, Tian Chua.

Menurutnya, beliau terpaksa ingkar dengan arahan parti kerana terikat dengan janji warga Batu untuk kembali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, episod sedih pada PRU14 menyebabkan namanya tercicir daripada bertanding dan ia tidak pernah memadamkan hasratnya untuk berbakti kepada rakyat Batu.

"Saya tak tahu apa yang boleh dilakukan ketika itu (PRU14). Saya rasa seperti telah mengkhianati kepercayaan pengundi Batu yang mengharapkan menyokong Pakatan Harapan (PH) untuk jatuhkan BN.

"Waktu itu saya tiada pilihan lain dan telah buat keputusan walau macam mana sekali pun, saya tidak boleh berikan kemenangan mudah kepada pihak lawan," katanya pada Ceramah Kelompok di Perumahan Awam Sri Perak pada Jumaat.

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau yang ketika itu tidak mengenali calon-calon lain telah memilih calon muda, P Prabakaran yang bertanding atas tiket Bebas untuk mengambil alih tugas sementaranya.

"Saya telah berunding dengan beliau untuk ambil alih kedudukan ini buat sementara waktu bagi meneruskan hasrat rakyat tolak BN. Sebab itu saya naikkan beliau sebagai ahli Parlimen.

"Ketika itu, saya juga berjanji tidak akan tinggalkan Batu walaupun saya tidak dipilih. Disebabkan ramai tidak kenal Prabakaran, saya telah yakinkan pengundi untuk beri Prabakaran menang. Sokong dia seperti sokong saya dan saya akan kembali pada PRU15," jelasnya.

Beliau berharap pengundi faham, tindakannya membelakangkan parti dan bertanding sebagai calon Bebas bukan kerana tamakkan kuasa atau gaji besar tetapi kerana janji dengan rakyat yang perlu dikotakan.

"Apa terjadi sekiranya saya adalah ahli Parlimen Bebas? Saya mungkin ahli Parlimen Bebas tetapi saya takkan bebas daripada tanggungjawab dan arahan daripada rakyat. Saya tetap akan patuh dengan prinsip saya dan kekal mendokong dasar-dasar yang menguntungkan rakyat. Saya akan tetap lantang bersuara.

"Ini adalah tanggungjawab yang saya harus pikul kerana apabila masuk Parlimen, saya akan pastikan prinsip tidak berubah. Saya tetap tolak kleptokrat yang menyeleweng dan akan menjadi suara rakyat Batu," ujarnya.

Tian Chua akan bersaing dalam pertembungan 10 penjuru termasuk menentang calon PH, Prabakaran yang juga penyandang kerusi Batu selepas menang dengan majoriti 24, 438 undi pada PRU14.