PRU15: Hanya seorang calon DUN PKR di Perak isytihar harta

Tangkap layar laman sesawang calonkeadilan.org menunjukkan Muhamad Arafat antara calon kerusi DUN yang masih belum mengemas kini maklumat pengisytiharan harta.
Tangkap layar laman sesawang calonkeadilan.org menunjukkan Muhamad Arafat antara calon kerusi DUN yang masih belum mengemas kini maklumat pengisytiharan harta.
A
A
A

IPOH - Hanya seorang calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak yang mengisytiharkan harta sehingga kini.

Setakat jam 11 pagi Sabtu, calon kerusi DUN Bukit Chandan, Mohamad Hairul Amir Sabri satu-satunya calon yang telah mengemas kini pengisytiharan harta menerusi laman sesawang calonkeadilan.org.

Menerusi akuan berkanun yang dimuat naik ke dalam laman sesawang berkenaan, Timbalan Pengerusi PKR Perak merangkap Ketua Cabang PKR Kuala Kangsar itu mempunyai nilai aset bersih sebanyak RM110,452.

Antara calon yang masih belum mengemas kini maklumat pengisytiharan harta itu termasuklah penyandang kerusi DUN Hulu Kinta yang juga Naib Pengerusi PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan penyandang kerusi DUN Teja, Sandrea Ng Shy Ching.

PKR mempertaruhkan 21 calon bertanding bagi kerusi DUN di Perak dengan sebahagian besar daripadanya merupakan muka baharu.

Sementara itu, bagi calon kerusi Parlimen pula, semua calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan (PH) itu sudah mengisytiharkan harta masing-masing dengan calon kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki nilai aset bersih melebihi RM11 juta.

Calon kerusi Parlimen Tapah, K Saraswathy pula merekodkan nilai aset kedua tertinggi sejumlah RM10.4 juta diikuti calon kerusi Parlimen Pasir Salak, Nik Omar Nik Abdul Aziz sebanyak RM2.6 juta.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini mengumumkan semua calon mereka akan mengisytiharkan harta masing-masing menerusi laman web.

Artikel Berkaitan:

Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Rafizi Ramli antara individu yang sudah mengisytiharkan aset masing-masing.