Murid Tahun Tiga lemas ketika mandi sungai

Muhammad Aman lemas ketika mandi bersama-sama rakannya.
Muhammad Aman lemas ketika mandi bersama-sama rakannya.
A
A
A

KEMAMAN - [KEMAS KINI] Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun terkorban akibat lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di kawasan alur sungai berhampiran ladang kelapa sawit, Kampung Batu 9, Ibok, pada Khamis.

Mayat Muhammad Aman A. Suhimi yang juga murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Ibok ditemui lebih kurang 200 meter dari lokasi kejadian.

Bapa mangsa, A Suhimi Salleh, 59 berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.00 petang itu dia dikejutkan dengan musibah yang menimpa selepas dimaklumkan oleh salah seorang rakan anaknya.

Menurutnya, ketika tiba di tebing sungai dia mendapati selipar anak bongsu dari tujuh beradik berada di atas tanah dan penduduk kampung sedang mengusungnya.

"Alur sungai di sini sebenarnya cetek tapi disebabkan hujan lebat sejak pagi, paras air meningkat dan arusnya agak laju.

"Seorang rakannya berlari kepada saya untuk meminta bantuan tetapi sebaik tiba di tempat kejadian melihat arus deras, terdetik yang anak saya sudah tiada.

"Ketika itu juga saya melihat penduduk sudah mengangkatnya ke darat," katanya.

A Suhimi mengakui, anaknya itu juga berkelakuan agak berbeza daripada kebiasaan sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

"Perangai anak saya memang berbeza sedikit, dia memang mahu saya bersama isteri pergi ke sekolah untuk melihat dia bersukan. Masa pergi ke sekolah itu (Sekolah Kebangsaan Ibok), memang dia suka, di sekolah pun (semalam), semua cikgu dia salam," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

"Mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang bergegas ke lokasi.

"Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital kemaman untuk tindakan lanjut sebelum dituntut oleh ahli keluarga pada jam 12.00 malam," katanya.