Guna Toyota Vellfire milik isteri buat 'ulat' di KLIA 2

JPJ Selangor menahan seorang pemandu Toyota Vellfire yang menjalankan kegiatan kereta sewa haram atau 'ulat' di KLIA 2, Sepang, Rabu lalu. - Foto JPJ Selangor
JPJ Selangor menahan seorang pemandu Toyota Vellfire yang menjalankan kegiatan kereta sewa haram atau 'ulat' di KLIA 2, Sepang, Rabu lalu. - Foto JPJ Selangor
A
A
A

SEPANG - Seorang lelaki sanggup menggunakan Toyota Vellfire milik isteri untuk jalankan kegiatan kereta sewa haram atau 'ulat' bagi menarik pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), di sini, sebelum ditahan pada Rabu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, kegiatan 'ulat' itu dikesan hasil intipan dan pemantauan pihaknya.

"Toyota Vellfire yang dipandu lelaki berusia 42 tahun terbabit ditahan ketika sedang membawa tiga penumpang warga Jepun untuk ke ibu negara.

"Dipercayai pemandu itu menggunakan taktik memujuk dan merayu sebelum mengenakan cas bayaran tambang sebanyak RM180 kepada penumpang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu adalah milik isteri kepada pemandu terbabit dan mendakwa kegiatannya dilakukan bagi mencari pendapatan sampingan.

Katanya, kes disiasat disiasat di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama," ujarnya.

Tambahnya, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA dan KLIA 2 atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Artikel Berkaitan:

"Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu serta pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram," tegasnya.