Mangsa banjir kilat pilih terus tinggal di PPS

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Hampir kesemua mangsa banjir kilat di Kampung Johan Setia di sini memilih untuk terus berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Johan Setia, memandangkan hujan lebat dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.

Salah seorang mangsa, Norjannah Mustari, 47, berkata, meskipun air telah surut, namun beliau berasa bimbang untuk pulang ke rumah.

"Walaupun air dah surut tetapi kakak takut nak balik rumah. Hari ini pun mendung sahaja, lagipun petang ini dijangka hujan lagi,” katanya ketika ditemui Bernama di PPS berkenaan pada Khamis.

Kira-kira 43 keluarga di Kampung Johan Setia terjejas akibat banjir kilat dengan paras air naik secara mendadak, susulan hujan lebat selama setengah sejam, petang semalam.

Azizah Mustapa, 46, juga memilih untuk terus berada di PPS berkenaan bersama suami, dua anak dan seorang cucu.

"Selepas banjir besar tempoh hari, kami masih trauma. Sekarang ini, tidak tahulah nak balik bila, takut mahu balik, tunggu betul-betul hujan tidak turun baru balik ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, seramai 183 mangsa banjir ditempatkan di PPS berkenaan selain tiga mangsa telah pulang ke rumah setakat pagi tadi.

"Kami telah menggerakkan Skuad N49 Prihatin bersama masyarakat kampung ekoran hujan lebat yang bermula sejak dua hari lepas bagi membantu kerja penyelamatan dan edaran keperluan asas kepada mangsa banjir,” katanya ketika melawat PPS tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: