PRU15: Gelombang anak muda mampu menangkan PN

Nurul Amin (tengah) semasa turun bertemu masyarakat Siam di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu pada Rabu.
Nurul Amin (tengah) semasa turun bertemu masyarakat Siam di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu pada Rabu.
A
A
A

PADANG TERAP - Gelombang perubahan ditunjukkan oleh rakyat khususnya anak muda memberikan tanda positif kepada Perikatan Nasional (PN) yang dilihat mampu memperolehi kejayaan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid.

Beliau yang merupakan calon PN bagi kerusi Parlimen Padang Terap berkata, gelombang tersebut diyakini akan turut berlaku di Parlimen ini biarpun berdepan tugas besar menghadapi penyandangnya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Tentang keyakinan, saya yakin PN menang. Kita tidak melihat soal calon tetapi kita melihat soal perubahan. Gelombang sekarang ini adalah gelombang perubahan terutamanya di kalangan generasi muda.

"Mereka mahu melihat perubahan yang besar khususnya di Padang Terap. Itu keyakinan kita," kata Nurul Amin mengulas bertemu calon 'heavyweight' yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar di kerusi Parlimen Padang Terap.

Menurut bekas graduan Al-Azhar,Mesir dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam (UniSHAMS) ini, pengundi muda antara golongan yang turut diberikan tumpuan oleh PN pada PRU15.

"Kita ada strategi untuk meraih undi orang muda dan akan diumumkan. Strategi ini memang diutamakan buat golongan muda," ujar Nurul Amin.

Pada PRU kali ini, selain Mahdzir yang akan dihadapi oleh Nurul Amin yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, dua lagi calon adalah Muaz Abdullah daripada Pakatan Harapan (PH) dan Razali Lebai Salleh dari Pejuang yang mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).

Artikel Berkaitan: