PERR 2022: Selangor tekad akhiri kemarau 25 tahun

Barisan pemain dan kejurulatihan skuad PERR Selangor.
Barisan pemain dan kejurulatihan skuad PERR Selangor.
A
A
A

SELANGOR berhasrat menamatkan kemarau 25 tahun menjulang Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2022 menjelang pertembungan final menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Sabtu ini.

Pengurus Selangor, Saharom Mohni berkata, keyakinan itu dilontarkan berdasarkan kemampuan barisan pemain muda di bawah kendalian Shaiful Nizam mencipta magis dalam 90 minit perlawanan.

“Kita sudah melalui jalan sukar dalam kelompok ini, dan rentak permainan semakin baik apabila menang di peringkat separuh akhir ketika menentang Kelantan. Jadi semestinya kita mahu menamatkan penantian kejuaraan untuk edisi kali ini.

“Setakat ini semua pemain bebas daripada kecederaan. Kita tiada tekad lain selain muncul juara Sabtu ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada Rabu.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor meraih kejuaraan adalah pada edisi 1997, manakala kali terakhir PDRM melangkah ke final pada 2016.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) Mohd Firdaus Mohamed berkata, saingan PERR edisi ke-100 kali ini sangat menarik apabila beberapa pemain muda mula diintai beberapa pasukan Liga Super, Liga Simpanan dan Piala Presiden.

Sehubungan itu, beliau berharap aksi final kali ini mendapat sokongan peminat bola sepak tempatan, apabila pertembungan itu pastinya menjanjikan aksi pertarungan menarik.

“Memang ada pemain yang sudah diintai dari kelab lain jadi memang bagus saingan PERR, kerana kita mengetengahkan bakat sedia ada. Saya difahamkan banyak bakat sudah dilamar pasukan, contohnya pemain dari Kelantan dan Pulau Pinang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: