Tekad Zii Jia di Australia

Zii Jia akan menyertai Terbuka Australia di Sydney minggu depan. - Foto Agensi
Zii Jia akan menyertai Terbuka Australia di Sydney minggu depan. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tekad mempamerkan aksi terbaik pada Terbuka Australia di Sydney dalam saingan yang bermula 15 hingga 20 November ini.

Janji itu dikongsi pengurus yang juga kakak kepada pemain nombor dua dunia itu, Lee Zii Yii.

“Dia akan cuba melakukan yang terbaik dan diharap kami mampu meraih satu hasil yang baik,” kata Zii Yii menerusi kiriman WhatsApp kepada media pada Rabu.

Zii Yii sebelum ini berkata, pihak pengurusan masih belum memuktamadkan penyertaan di Sydney berikutan mereka masih dalam proses permohonan visa yang agak rumit.

Terbaharu semuanya sudah disahkan dan Zii Jia akan menyertai Terbuka Australia,” katanya.

Akhir bulan lalu, Zii Jia menarik diri daripada saingan Terbuka Hylo di Jerman, dipercayai ada kaitan dengan pemergian datuknya yang dilaporkan meninggal dunia sebelum itu.

Zii Jia selepas itu tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Perancis di Paris selepas kalah kepada pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito.

Sebelum itu, beliau berjaya mara ke pentas final Terbuka Denmark di Odense sebelum dikecewakan pemain China, Shi Yuqi untuk akur dengan gelaran naib juara.

Artikel Berkaitan:

Pemain berusia 24 tahun itu sudah meraih dua gelaran pada musim ini iaitu Kejohanan Badminton Asia di Manila, Filipina pada April.

Zii Jia yang berasal dari Alor Setar, Kedah juga merangkul gelaran Terbuka Thailand di Bangkok pada Mei.