Bomba pecahkan kereta sebelum padam kebakaran 11 gerai

Anggota bomba memadamkan kebakaran membabitkan 11 gerai di Jalan Pasar, hari ini.
Anggota bomba memadamkan kebakaran membabitkan 11 gerai di Jalan Pasar, hari ini.
A
A
A

BATU GAJAH - Bomba terpaksa memecahkan cermin tiga kereta bagi menyelamatkan kenderaan awam itu daripada hangus dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan 11 gerai di Jalan Pasar di sini, hari ini.

Kenderaan jenis Proton Waja, Perodua Bezza dan Toyota Avanza itu parkir di lokasi kejadian dan pemiliknya gagal dikesan dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamaluddin Mat Yusop berkata, itu antara tindakan awal yang diambil bagi menyelamatkan harta benda awam sebelum meneruskan operasi pemadaman.

"Kekuatan 30 anggota termasuk bantuan BBP Simpang Pulai, Pasir Puteh dan Seri Iskandar berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 20 minit.

"Api mudah marak kerana struktur gerai daripada kayu selain tekanan air rendah yang menyebabkan lapan gerai musnah 100 peratus, manakala tiga yang lain rosak pada bahagian bumbung," katanya.

Bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 20 minit.
Bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 20 minit.

Menurutnya, pihaknya sempat menahan seorang lelaki yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol yang cuba meluru masuk ke dalam gerainya.

"Lelaki berusia 30-an itu cuba masuk ke gerainya yang sedang marak bagi menyelamatkan barangnya, namun kita sempat menahan dan menariknya keluar.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan lelaki berkenaan mengganggu tugas anggota yang menjalankan operasi pemadaman ketika itu," katanya.

Mohd Jamaluddin berkata, anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan forensik bomba.