Isu LTAPP: Guan Eng sedia debat dengan Ka Siong

Guan Eng menunjukkan dokumen permohonan kebenaran merancang bagi cadangan menaik taraf LTAPP yang diluluskan MBPP.
Guan Eng menunjukkan dokumen permohonan kebenaran merancang bagi cadangan menaik taraf LTAPP yang diluluskan MBPP.
A
A
A

GEORGETOWN - Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng sedia berdebat dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berhubung isu projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Guan Eng berkata, beliau tidak akan mengelak untuk berdebat berikutan banyak pembohongan yang dilakukan Ka Siong terhadap isu tersebut sejak dahulu lagi.

Menurutnya, sebagai Menteri Pengangkutan, Ka Siong sepatutnya bercakap benar dan bukannya memfitnah dirinya serta Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Dia yang cabar saya, saya terima tetapi biar dia yang aturkan. Jika boleh, buat di Pulau Pinang sebab ia membabitkan isu LTAPP. Saya tidak bercakap bohong, jadi saya tiada masalah jika ingin berdebat.

"Dia sepatutnya bercakap benar kerana dia merupakan Menteri Pengangkutan. Saya ada semua dokumen berkaitan berhubung projek pembesaran lapangan terbang ini," katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP di Jalan Rangoon di sini pada Selasa.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, dakwaan Ka Siong yang menuduhnya menjadi punca projek naik taraf dan pembesaran LTAPP tertangguh sangat tidak boleh diterima.

"Dia kata saya tidak menggunakan dana kerajaan seperti yang diperuntukkan menerusi Bajet 2018 ketika zaman pemerintahan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak). Itu tidak benar, kerana peruntukan seperti dinyatakan itu dibuat secara umum.

"Peruntukan yang disebut tidak spesifik bahawa ia untuk projek menaik taraf dan pembesaran LTAPP. Jika dia kata ada peruntukan dana sebanyak RM700 juta itu diluluskan kerajaan untuk projek pembesaran LTAPP, sila buktikan," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ketika Kerajaan PH memegang tampuk pemerintahan, Malaysia Airports Sdn Bhd telah memohon kebenaran merancang menaik taraf dan pembesaran LTAPP daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 19 Julai 2019.

"Kebenaran itu juga sudah diluluskan bermula dari tarikh 3 Disember 2019, namun kerja-kerja itu tidak dapat dilakukan berikutan peralihan kerajaan pada Februari 2020 dan dihentikan selepas Perikatan Nasional (PN) memerintah.

"Ketika BN memerintah sebelum PRU14, mereka juga tidak membuat permohonan merancang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf dan pembesaran LTAPP dapat dimulakan," katanya.

Jelas Guan Eng, beliau yang merupakan Menteri Kewangan ketika pemerintahan Kerajaan PH telah menyokong permohonan Malaysia Airport Sdn Bhd untuk mendapatkan kebenaran merancang daripada MBPP.

Pada Isnin, Ka Siong membidas DAP berhubung dakwaan Kerajaan BN telah membatalkan banyak projek infrastruktur di Pulau Pinang dengan menyifatkannya sebagai satu pembohongan besar.

Ka Siong berkata, DAP perlu berhenti daripada terus menyalahkan kerajaan terkini sedangkan ketika PH menjadi kerajaan sebelum ini, tiada projek yang diluluskan untuk Pulau Pinang.

Ka Siong turut dilaporkan bersedia berdebat dengan Guan Eng berhubung isu tersebut.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa Ka Siong mengambil tanggungjawab berhubung gangguan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terganggu pada Selasa sehingga menyebabkan ramai pengguna terkandas.