Kecederaan Mane tidak terlalu teruk

Mane (kanan) mengalami kecederaan kaki ketika aksi Bayern menentang Bremen pada Rabu. Foto Agensi.
Mane (kanan) mengalami kecederaan kaki ketika aksi Bayern menentang Bremen pada Rabu. Foto Agensi.
A
A
A

SKUAD Senegal boleh menarik nafas lega apabila kecederaan yang dialami pemain sensasi, Sadio Mane tidak serius dan dijangka boleh beraksi di Qatar menjelang Piala Dunia pertengahan bulan ini.

Perkara itu disahkan oleh penolong jurulatih kelabnya Bayern Munich, Dino Toppmoeller yang memberitahu kecederaan kaki penyerang Senegal itu tidak terlalu teruk.

"Saraf kakinya cedera akibat terhentak, keadaannya tidak terlalu teruk," katanya.

Mane menjalani imbasan selepas mengalami kecederaan keting ketika Bayern membelasah Werder Bremen 6-1 pada Rabu.

Kapten Senegal itu kelihatan terhincut-hincut ketika dikeluarkan pada minit ke-20 perlawanan di Arena Allianz berkenaan.

Bekas bintang Liverpool itu kemudian terus dibawa menuju ke terowong untuk rawatan lanjut.

Kecederaan itu menimbulkan kebimbangan pemenang dua kali Anugerah Pemain Terbaik Afrika itu mungkin tidak cergas apabila Senegal memulakan kempen di Piala Dunia.

Senegal akan membuka saingan Kumpulan A di Qatar dengan menentang Belanda pada 21 November diikuti perlawanan dengan tuan rumah dan Ecuador.

Artikel Berkaitan:

Sepakan penalti Mane ketika penentuan sepakan penalti memastikan Senegal menewaskan Mesir untuk menjulang trofi Piala Negara Afrika buat kali pertama awal tahun ini.