Bunian bukan khayalan

Bunian itu sebenarnya adalah jin. -GAMBAR HIASAN.
A
A

DALAM pada itu, seorang lagi pengamal perubatan Islam Ustaz Hadi Talhah berkata, bunian itu sebenarnya adalah jin.

Jelas Ustaz Hadi, dalam masyarakat Melayu, mereka menggelarkan jin itu dengan pelbagai nama termasuk bunian.

"Biasanya bunian ini jenis yang hendak berkahwin, mendampingi, berkeluarga atau mahu berkawan.

"Ia bukan dari jenis yang merasuk atau mengganggu. Itu jenis lain yang biasanya orang panggil sebagai hantu raya, pelesit dan sebagainya," ujar beliau.

Katanya, sama seperti jin, asal-usul bunian adalah dicipta daripada api.

"Fizikal bunian sebenarnya tidak sama seperti manusia. Ia bukan seperti yang digambarkan oleh cerita-cerita dalam drama televisyen. Bahkan juga, gambaran dari orang yang telah memasuki alam bunian.

"Kita kena ingat. Bunian ini boleh menjelma sebagai makhluk-makhluk tertentu atau jelmaan manusia, haiwan dan sebagainya. Apa pun, kita memang tidak dapat lihat mereka sebab mereka adalah ghaib," katanya.

Seperkara lagi, Ustaz Hadi memberitahu, umur bunian sebenarnya mencecah ratusan tahun.

Kahwin dengan manusia?

Mengulas lanjut, bunian katanya mempunyai jantina lelaki dan perempuan. Bahkan ada kes bunian berkahwin dengan manusia!

USTAZ HADI TALHAH
USTAZ HADI TALHAH

Dari segi hukumnya, Ustaz Hadi menegaskan, ia dilarang sama sekali kerana perkahwinan manusia dengan jin tidak sah.

ALLAH SWT berfirman: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya dan dijadikan di antara kamu perasaan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir." (Surah ar-Rum: 21)

Selain itu, katanya, bunian juga mempunyai akal dan nafsu serta makan dan minum. Mereka juga golongan mukallaf seperti manusia kerana akan disoal pada hari kiamat nanti.

Kepada satu soalan, Hadi menjawab: "Sebenarnya ketika ALLAH SWT menciptakan bumi dulu, jin yang menetap. Apabila ALLAH ciptakan Nabi Adam AS dan kemudian turunkan baginda ke bumi sebagai khalifah, maka, jin yang ada di bumi dihalau ke kawasan pedalaman, hutan, laut dan pantai. Manusia menetap di kawasan bumi lapang. Bagaimanapun, di kawasan bumi lapang ini, jin tetap ada tetapi tidaklah sebanyak di kawasan hutan belentara."

Agamawan itu turut menjelaskan, individu yang memasuki alam bunian itu sebenarnya telah dikuasai jin yang membawa masuk ke alam mereka.

"Ia bukan soal hijab atau tidak. Sebenarnya bukan satu keistimewaan bila masuk ke alam jin. Bila kita nampak dia, ia akan menyebabkan fikiran kita terganggu," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia