Lelaki sebabkan kemalangan serang orang awam

Seorang lelaki bertindak menyerang orang awam yang membantu mangsa kemalangan jalan raya di Ipoh. - Foto ihsan pembaca
Seorang lelaki bertindak menyerang orang awam yang membantu mangsa kemalangan jalan raya di Ipoh. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Berang ditegur kerana menyebabkan kemalangan jalan raya, seorang lelaki bertindak menyerang orang awam yang membantu mangsa kemalangan di Jalan Raja Musa Aziz di sini pada Isnin.

Video kejadian sekitar jam 6.07 petang tular di media sosial itu memaparkan dua lelaki bergaduh di jalan raya berhampiran dua kereta yang rosak sambil ditenangkan seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dua laporan diterima membabitkan mangsa pergaduhan dan kemalangan jalan raya.

"Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu suspek berusia 47 tahun melanggar kereta Toyota Camry yang dikendalikan wanita berusia 52 tahun. Punca kejadian dipercayai akibat suspek memandu di laluan bertentangan.

"Orang awam yang menyaksikan kemalangan itu tampil memberi bantuan kepada mangsa namun suspek tidak berpuas hati dengan teguran kerana dikatakan telah menyebabkan kemalangan itu.

"Suspek menyerang salah seorang daripada orang awam yang berada di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut Yahaya, suspek berjaya ditahan polis di sebuah lokasi di Jalan Lahat sekitar jam 12.10 tengah hari.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu bagi mendapatkan perintah reman.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.