Tze Yong perlu mara lebih jauh di Terbuka Australia

Tze Yong akan menyertai Terbuka Australia di Sydney pertengahan bulan ini. - Foto Bernama
Tze Yong akan menyertai Terbuka Australia di Sydney pertengahan bulan ini. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN perseorangan utama lelaki kebangsaan, Ng Tze Yong diharapkan mampu mara sejauh mungkin dalam Terbuka Australia 2022 yang dijadualkan berlangsung di Sydney dari 15 hingga 18 November ini.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan berkata, misi berkenaan penting untuk dilaksanakan pemain ke-34 dunia itu bagi mencapai sasaran berada dalam kelompok 32 pemain terbaik dunia menjelang akhir tahun ini.

Hendrawan berkata, Tze Yong mempunyai peluang cerah untuk menyertai mana-mana kejohanan bertaraf Super 1000 dunia termasuk Terbuka Malaysia 2023 yang dijangka diadakan pada 10-15 Januari depan sekiranya berjaya menjadi antara 32 pemain terbaik dunia.

Bagaimanapun bekas juara dunia 2001 itu mengakui laluan Tze Yong agak sukar di Terbuka Australia apabila diundi menentang pilihan keenam dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn selain dijangka bertemu Anthony Sinisuka Ginting sekiranya pilihan ketiga kejohanan dari Indonesia itu layak ke suku akhir.

"Ini satu perjalanan yang harus Tze Yong lewati, beliau akan jumpa pemain yang level di atasnya, ada masanya dia main bagus dan kadang kala akan menang atau lakukan upset," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini pada Selasa.

Sekiranya Tze Yong tidak berjaya mara ke peringkat lebih jauh di Australia, Hendrawan berkata, beliau akan cuba menghantar anak buahnya itu ke Bahrain International Challenge pada 29 November hingga 4 Disember ini sebagai pelan kontigensi untuk mengumpul mata seterusnya mengejar kedudukan 32 pemain terbaik dunia.

Dalam pada itu, bekas pemain Indonesia itu berkata, rentak permainan Tze Yong terjejas selepas pihaknya menumpukan untuk menguatkan bahagian kakinya selepas pulang dengan pingat perak selain membantu pasukan bercampuran menang emas pada Sukan Komanwel 2022 Birmingham, Ogos lepas.

Justeru beliau berkata, pihaknya kerap mengadakan perbincangan bersama Tze Yong dalam memastikan kekuatan di bahagian atas badan dan bawah termasuk kaki pemain kelahiran Muar itu dapat berjalan seimbang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hendrawan memaklumkan penyertaan Tze Yong dan seorang lagi pemain kebangsaan, Leong Jun Hao dalam kejohanan pertunjukan Piala Bright Up di Jakarta, Indonesia Khamis ini, merupakan peluang terbaik bagi mereka meraih pengalaman menentang pemain berkelas dunia.

Selain Ginting yang memegang status sebagai pemain kelapan dunia, naib juara Kejohanan Badminton Asia 2022, Jonatan Christie; juara Masters Malaysia 2022, Chico Aura Dwi Wardoyo serta pemain ke-25 dunia, Sitthikom Thammasin dari Thailand dijadual bakal beraksi pada kejohanan sehari itu.

Hendrawan pada masa sama berharap agar Jun Hao berada dalam kedudukan 50 pemain terbaik dunia pada akhir tahun berbanding posisi ke-72 dunia ketika ini. - Bernama